BERITA UTAMASELANGOR

Selangor rancang tawar kursus latihan penguat kuasa PBT seluruh negara

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 3 MEI: Selangor berhasrat menawarkan kursus latihan penguatkuasaan kepada penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), di seluruh negara.

Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Muhammad Yasir Yahya berkata, Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela Penguat Kuasa itu menarik minat ramai pihak penguat kuasa dari seluruh negara.

Katanya, pendekatan dilaksana Pusat Latihan Penguat kuasa Selangor (PULAPES) itu juga turut menarik perhatian negeri lain.

“Selangor menjadi tunjang atau tumpuan utama daripada segi kursus membabitkan penguat kuasa dan ini adalah idea baharu daripada Kerajaan Negeri.

“Kita juga dipelawa membawa masuk peserta dari negeri lain yang berminat untuk menyertai kursus di pusat latihan ini, malahan kita menyambut baik cadangan ini untuk dijalankan secara bersama,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Penguat kuasa Negeri Selangor Siri 1/2019, di PULAPES, di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Panglima Briged Kesebelas Infantri Malaysia, Briged Jeneral Dato’ Dr Mohd Radzi Abdul Hamid dan turut dihadiri Timbalan Komander Rejimen 502 Askar Wataniah, Lt Kol Azmi Tukiman

Bagi menggerakkan perancangan itu, Muhammad Yasin berkata, PULAPES perlu mempertimbangkan kemampuan mereka dengan menilai beberapa aspek seperti kemudahan kelengkapan dan fasiliti untuk peserta terbabit.

“Memang hasrat kita mahu mencapai jumlah penyertaan dalam lingkungan antara 100 hingga 200 peserta, tetapi ia bergantung kepada fasiliti yang ada di pusat latihan,” katanya.

Terdahulu, seramai 49 peserta terdiri daripada agensi penguat kuasa di 12 PBT di Selangor berjaya menamatkan kursus latihan selama sebulan di pusat latihan berkenaan.

Sepanjang tempoh itu, peserta didedahkan dengan pelbagai modul seperti pengetahuan asas dan pemahaman undang-undang, tatacara kerja dalam penguatkuasaan PBT hingga ke modul menguji ketahanan fizikal.

 


Pengarang :