BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor sasar negeri bebas plastik menjelang 2025

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 16 MEI: Kerajaan Negeri optimis menjadikan Selangor sebagai negeri bebas plastik dengan sasaran seawal 2025.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, sasaran itu lebih awal berbanding di peringkat persekutuan yang mensasarkan pada 2030.

“Kalau mengikut perancangan Kerajaan Pusat ia dilaksanakan pada 2030 iaitu 11 tahun daripada sekarang tetapi di Selangor kita mencadangkan lebih lebih awal dilaksanakan pada 2025. Ia bergantung kepada kesediaan penggantian beg plastik.

“Kalau kita hanya melarang penggunaan beg plastik tanpa alternatif, sukar untuk rakyat terima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Program Bazar Ramadan Mampan Majlis Daerah Kuala Selangor Tahun 2019 di Tapak Bazar Ramadan Saujana Utama di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, pada masa ini Kerajaan Negeri sedang mengkaji bahan mesra alam, lebih murah dan setanding dengan beg plastik.

Katanya, penggunaan beg plastik secara meluas mampu memberi kesan buruk kepada alam sekitar dengan membabitkan kawasan maritim negara.

Loy Sian berkata, keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan manusia tetapi juga haiwan yang mendiami kawasan terbabit.

“Pada masa ini kita menjalankan pelbagai kempen menggalakkan orang ramai membawa bekas makanan masing-masing dan Program Bazar Ramadan Mampan Majlis Daerah Kuala Selangor 2019,”katanya.


Pengarang :