BERITA UTAMASELANGOR

Selangor tangguh kemas kini KISS sempena Aidilfitri

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 MEI: Penerima Inisiatif Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) masih boleh menggunakan kad berkenaan sehingga 14 Jun ini, sebagai persiapan menyambut Aidilfitri, sebelum proses kemas kini data dijalankan tidak lama lagi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat setelah Kerajaan Negeri bersetuju menangguhkan tarikh pengemaskinian kepada 15 Jun sehingga 15 Julai 2019.

“Setelah proses pengemaskinian selesai, penerima KISS yang tersenarai di dalam eKasih atau senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) boleh terus menggunakan kad KISS dengan jumlah manfaat sama.

“Kerajaan Negeri membelanjakan RM107 juta bagi manfaat KISS sejak pelaksanaannya pada 2018 dan akan terus komited meneruskan inisiatif ini,” katanya dalam kenyataan.

Amirudin berkata, pada 26 April lalu Kerajaan Negeri mengumumkan langkah mengemas kini maklumat penerima KISS bagi memastikan bantuan terbabit diterima golongan yang benar-benar memerlukan.

“Proses kemas kini itu akan dilakukan Selcare Management Sdn Bhd (SELCARE) dan akan mengambil masa selama sebulan.

“Oleh itu, dalam tempoh pengemaskinian, penggunaan kad KISS akan dibekukan sementara bagi membantu SELCARE mengemas kini maklumat dengan lebih tepat,” katanya.

 


Pengarang :