SELANGOR

SELCAT: Penduduk ingin tahu status pembangunan rumah

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 7 MEI: Rakyat Sabak Bernam ingin mengetahui status projek pembangunan perumahan di Taman Air Manis, Pancang Bedena sama ada diteruskan atau tidak.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sabak Bernam, Ahmad Mustain Othman berkata, penduduk di kawasan itu berada dalam keadaan tertanya-tanya berhubung projek rumah kos rendah berkenaan.

Beliau yang juga pengadu dalam kes itu berkata, masyarakat di situ berharap supaya ia diteruskan kerana harga yang pernah dijanjikan dahulu adalah mampu milik.

“Saya datang ke pendengaran awam hari ini dengan harapan saya boleh bawa balik sebarang keputusan untuk beritahu rakyat Sabak Bernam.

“Mereka sangat menantikan projek itu, kerana ia ditawarkan dengan harga mampu milik iaitu sekitar RM150,000 hingga RM250,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi penerangan dalam sesi pendengaran awam oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT), di Bangunan Annex, di sini.

Pendengaran awam itu dijalankan ekoran wujud aduan rasmi kepada SELCAT berkenaan Projek Pembangunan Perumahan di Taman Air Manis.

Projek berkeluasan 10.11 hektar itu adalah milik anak syarikat Kerajaan Negeri, iaitu Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Perancangan asal pembangunan terbabit berasaskan konsep pembangunan bersepadu, iaitu merangkumi Rumah Selangoru dan mempunyai kedai pejabat, stesen minyak serta pusat penjaja rehat dan rawat (R&R).

Pendengaran awam itu akan diteruskan sehingga 5 petang.


Pengarang :