BERITA UTAMASELANGOR

Selebriti agama meriahkan Singgah Sahur MBSA agih 2,000 juadah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 MEI: Selebriti agama memeriahkan program Singgah Sahur anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di beberapa lokasi tumpuan membeli belah sekitar Shah Alam, malam tadi.

Timbalan Dato’ Bandar MBSA, Mohd Rashidi Ruslan berkata, program berkonsepkan ‘Street Dakwah’ itu menampilkan personaliti antaranya PU Azman, PU Rahmat, PU Yeop, Imam Muda Faris dan Da’ie Shafikah.

Katanya, sebanyak 2,000 pek juadah diagihkan antaranya di Seksyen 7, Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan UpTown Seksyen 24 dari jam 10 malam sehingga 12 tengah malam.

“Program ini adalah landasan MBSA untuk menyampaikan maklumat dan memberi pendedahan kepada orang ramai berkenaan keindahan dan fadhilat bulan mulia ini.

“Ia juga antara komitmen berterusan MBSA sejak 2015 untuk mendekati masyarakat dan menjalinkan kemesraan terutamanya ketika menyampaikan dakwah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas solat Maghrib Berjemaah bersempena Program Berbuka Puasa “Iftar Ala Madinah” dan Sembang Sahur 2019, semalam.

Pada masa sama, Mohd Rashidi turut optimis program itu dapat meningkatkan penghayatan ibadah dalam kalangan masyarakat khususnya gegenarasi muda sepanjang Ramadan.

Program Singgah Sahur itu turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Ahli Majlis MBSA bagi bersama menjayakan program itu.

Terdahulu, MBSA turut menganjurkan Program Berbuka Puasa “Iftar Ala Madinah” dan Sembang Sahur 2019 yang diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Lebih 2,000 hadir memeriahkan program julung kali diadakan itu sekali gus meletakkan MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama menganjurkan acara sedemikian.

 


Pengarang :