NASIONAL

Semua kini boleh nikmati siaran TV digital myFreeview

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

CYBERJAYA, 24 MEI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan bahawa kini rakyat Malaysia boleh menikmati perkhidmatan siaran TV digital berjenama myFreeview.

Ketua Pegawai Sektor Digitalnya, Gerard Lim berkata, siaran digital myFreeview sudah boleh dinikmati secara percuma, tanpa sebarang kos tersembunyi.

“Penonton hanya perlu membayar sekali sahaja untuk membeli IDTV baharu, dekorder DVB-T2, atau aerial luaran UHF. Hanya perlu membayar yuran pemasangan sekiranya memerlukan bantuan pemasangan aerial dan perkhidmatan penyelenggaraan.

“Kini, terdapat 13 jenama IDTV sudah mendapat pengesahan SIRIM dan berada di pasaran serta boleh didapati dalam talian, di pasar raya besar atau kedai elektrik terpilih seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Siaran TV digital myFreeview menjanjikan resolusi serta kualiti gambar dan bunyi lebih jelas secara defini standard (SD) dan definisi tinggi (HD).

Penonton juga dapat menikmati Paduan Program Elektronik (EPG), sarikata pelbagai bahasa dan fungsi perkhidmatan televisyen interaktif.

Ketika ini, 15 saluran TV dan enam saluran radio sudah mula bersiaran di landasan myFreeview dan lebih banyak penyiar baharu dijangka menyertai perkhidmatan terbabit selepas ini.

Mengulas lanjut, Gerard berkata, siaran TV digital dijangka membantu merapatkan jurang digital bagi membolehkan akses kepada maklumat yang sama antara kawasan luar bandar dan bandar.

“Perkembangan ini turut memberi kelebihan kepada penyedia kandungan dalam menyediakan landasan digital lebih besar untuk kandungan mereka dengan jangkauan yang lebih luas di seluruh negara,” katanya.

Liputan siaran myFreeview kini mencapai sehingga 98 peratus di kawasan berpenduduk melalui pembinaan infrastruktur dan rangkaian pemancaran Teknologi Televisyen Terestrial Digital (DTT) serta sokongan perkhidmatan satelit iaitu Langsung Ke Rumah (DTH) bagi memastikan wujud liputan di kawasan terlindung.

Sehingga 15 Mei, sebanyak 2 juta dekoder yang terdiri daripada 1.65 juta dekoder DTT dan 346,667 dekoder DTH diagihkan kepada penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSHR) yang berkelayakan serta berpendapatan rendah.

Malaysia kini bersama lebih 60 negara lain di dunia yang sudah beralih ke era penyiaran TV digital.

 


Pengarang :