NASIONAL

Semua pusat undi ditutup

SANDAKAN, 11 MEI: Semua 19 pusat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan ditutup tepat pukul 5 petang ini sejak ia dibuka pada 7.30 pagi tadi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan pengundi keluar mengundi setakat pukul 4 petang ialah 51 peratus.

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 90 saluran akan dibawa ke pusat penjumlahan undi di Dewan Aktiviti Serbaguna Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua Sandakan di sini untuk pengiraan undi dan keputusan dijangka diumumkan sebelum 10 malam ini.

PRK Parlimen Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH) Vivian Wong Shir Yee yang menggunakan lambang DAP; calon Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Linda Tsen Thau Lin dan tiga calon Bebas iaitu bekas pengasas Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah Hamzah Abdullah; ahli perniagaan Chia Siew Yung dan bekas pegawai tadbir Pusat Khidmat Parlimen Sandakan Sulaiman Samat.

Wong dan Sulaiman mengundi di Sekolah Kebangsaan Muhibbah manakala Chia di Sekolah Kebangsaan Sungai Anib 1. Tsen dan Hamzah bukan pengundi di kawasan Parlimen ini.

Parlimen Sandakan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Papat dan Elopura dengan 40,131 jumlah pemilih berdaftar terdiri daripada 39,856 pengundi biasa, lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara dan selebihnya pengundi awal.

Daripada jumlah keseluruhan itu, 51 peratus merangkumi pengundi Cina dan 45 peratus pengundi bumiputera Islam, manakala selebihnya kaum lain.

Seramai 19,857 pengundi atau 49.48 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi adalah lelaki, manakala pengundi wanita berjumlah 20,274 atau 50.52 peratus.

PRK Parlimen Sandakan merupakan PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas, dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos, DUN Balakong dan DUN Seri Setia (8 Sept), Parlimen Port Dickson (13 Okt), Parlimen Cameron Highlands (26 Jan), DUN Semenyih (2 Mac) dan DUN Rantau (13 April).

Ia diadakan susulan kematian penyandang kerusi Parlimen Sandakan yang juga Pengerusi DAP Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

– BERNAMA


Pengarang :