NASIONAL

Seorang lelaki disyaki hidap wabak rabies di Sarawak

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan seorang lelaki disyaki menghidap wabak rabies di Kuching, Sarawak selepas mengalami lemah badan dan kesukaran nafas pada 26 Mei lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa berusia 26 tahun yang kini dirawat di Wad Penyakit Berjangkit, Hospital Umum Sarawak (HUS) mempunyai sejarah menerima dua ekor anjing daripada soerang kenalan media sosial pada Mac lalu.

“Status imunisasi rabies kedua-dua ekor haiwan ini tidak diketahui. Beliau pernah dicakar anjing ini ketika bermain dan tidak mendapatkan sebarang rawatan bagi luka berkenaan.

“Pada pertengahan Mac lalu, kedua-dua anjing itu mati selepas menunjukkan gejala hypersalivation, unsteady gait dan hydrophobia. Bangkai anjing dibuang ke dalam belukar dan tiada laporan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dibuat,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mangsa mendapati keadaanya bertambah teruk ketika mendapat rawatan di sebuah hospital swasta di Kuching sebelum dirujuk ke HUS, pada 29 Mei.

“Pemeriksaan mendapati beliau mengalami kekeliruan (confusion), hydrophobia, kesukaran menelan dan otot anggota tubuh yang lemah.

“Kes kini di bawah rawatan dan pengawasan rapi di hospital tersebut. Sampel klinikal kes akan diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian rabies,” katanya.

Sejak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga kini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak adalah 17 orang termasuk 16 kematian dengan kes terakhir pada 18 Januari 2019.

Orang awam dinasihatkan supaya tidak mengambil anjing tanpa mengetahui status vaksin untuk dipelihara serta mendapatkan pemeriksaan segera jika digigit atau dicakar haiwan di klinik atau hospital berdekatan.


Pengarang :