NASIONAL

Serbuan SKM, PDRM bendung penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini, mengadakan serbuan secara serentak di dua lokasi di Butterworth, Pulau Pinang dan Ampang, Selangor dalam usaha membendung penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SKMM, Datuk Mohd Shafie Harun dalam kenyataan hari ini, berkata serbuan tersebut dibuat selepas agensi itu menerima aduan dan maklumat daripada orang ramai ada pihak atau individu tertentu yang menggunakan kelengkapan sedemikian.

Menurutnya, penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui oleh suspek menyebabkan gangguan frekuensi dan menjejaskan kualiti perkhidmatan komunikasi di kawasan terbabit.

“Dalam serbuan itu, beberapa kelengkapan komunikasi seperti sebuah telefon tanpa wayar yang dibeli melalui platform dalam talian dan antena televisyen UHF disita bagi membantu siasatan. Pada masa sama, identiti suspek berkenaan dikenal pasti dan disahkan serta rakaman percakapan diambil,” katanya.

Kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000. Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bagi tempoh 2018 hingga April 2019, sebanyak 23 pertuduhan difailkan di bawah peruntukan yang sama melibatkan kesalahan penggunaan kelengkapan komunikasi tidak diperakui dengan jumlah denda keseluruhan bernilai RM165,000.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menasihatkan orang ramai untuk hanya membeli dan menggunakan kelengkapan komunikasi yang mempunyai label pemerakuan SKMM.

Selain telefon tanpa wayar dan antena televisyen UHF, orang ramai juga dinasihatkan untuk berhati-hati ketika membeli kelengkapan komunikasi lain seperti dekoder TV Digital myFreeview dan kotak TV Android kerana sejak kebelakangan ini, terdapat kelengkapan tidak diperakui sedemikian dijual di saluran runcit dan secara dalam talian.

Peringatan itu, beliau berkata bertujuan untuk melindungi keselamatan pengguna dan mengelak gangguan terhadap perkhidmatan komunikasi.

Bagi memastikan kelengkapan komunikasi digunakan sah dan diperakui, pengguna boleh memeriksa status kelengkapan komunikasi mereka menggunakan aplikasi mudah alih ‘Check Your Label’ ataupun melalui laman sesawang di pautan https://ecomm.sirim.my.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :