Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
BERITA UTAMANASIONAL

Sesuaikan diri dengan teknologi baharu – PM

PUTRAJAYA, 14 MEI: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat menyesuaikan diri dengan teknologi baharu agar mereka tidak ketinggalan dalam dunia baharu.

Berucap di majlis iftar Persatuan Murid-murid Tua Kolej Sultan Abdul Hamid (SAHOCA) di sini semalam, beliau berkata dunia kini menempuh zaman baharu di mana pembelajaran di sekolah dilakukan mengikut cara berlainan, bukan seperti ketika beliau di sekolah dulu.

“Hari ini kita menggunakan komputer dan benda-benda seperti itu bagi mengajar di sekolah dan saya harap mereka dapat menyesuaikan diri dengan sistem baharu pembelajaran ini.

“Saya percaya bila sesuatu sistem baharu dipakai oleh kerajaan, ini akan memudahkan kanak-kanak yang belajar hari ini,” kata beliau.

Turut hadir isteri perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir yang juga presiden seumur hidup SAHOCA, mengingati pertemuannya dengan seorang gadis berusia 10 tahun di sebuah syarikat yang mengajar beliau menggunakan komputer.

“Dia tahu lebih banyak, malahan dia mengajar saya sesuatu yang agak baharu dan dia begitu tangkas menggunakan komputer.

“Dia ajar saya bagaimana melakukannya, tapi saya masih tidak tahu bahagian mana perlu saya sentuh, tarik dan sebagainya,” kata beliau dan menambah tidak mudah bagi orang tua seperti beliau memahami teknologi baharu.

Dr Mahathir juga mengimbau peristiwa beliau menjelaskan kepada ibunya tentang bagaimana radio berfungsi selepas bapanya membeli alat itu semasa beliau anak kecil.

“Saya beritahu ibu saya bahawa radio menerima berita dari udara. Tidak ada wayar yang menghubungkan radio dengan stesen penyiaran. Tapi beliau (ibunya) tidak percaya,” kata Dr Mahathir.

Mujurlah, kata beliau generasi muda hari ini boleh menggunakan teknologi baharu kerana ia bukan sesuatu yang anih bagi mereka.

— BERNAMA

 


Pengarang :