RENCANA

Setia bersama pilihan rakyat (Bahagian 1)

Transkrip lengkap ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada lebih 1,000 pegawai kanan kerajaan pada 29 April 2019 di Putrajaya.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Saya berasa bersyukur dan gembira kerana pada hari ini saya dapat berjumpa dengan satu kumpulan yang besar daripada pegawai-pegawai kerajaan.

Pegawai-pegawai kerajaan tetap mempunyai peranan yang terpenting dalam negara kita. Kita masih ingat bahawa kerajaan kita ditubuh secara tersusun di zaman British dahulu, dan di zaman British dahulu pegawai-pegawai diletakkan di bawah kepimpinan pegawai-pegawai British.

Tidak ada pegawai tempatan, Melayu ataupun bukan Melayu, yang mengetuai mana-mana pejabat. Semua pejabat diketuai oleh mat salleh, orang putih, kerana mereka berpendapat bahawa kita tidak layak untuk mentadbir negara kita sendiri. Kita hanya layak untuk menjadi satu jajahan takluk British.

Dan pendapat ini juga terdapat di kalangan orang kita juga termasuk pegawai-pegawai kerajaan. Pegawai-pegawai kerajaan pada masa itu berpendapat hanya British sahaja yang mampu mentadbir sesebuah negara, termasuklah negara kita.

[Negara kita] yang pada masa itu pun terbahagi kepada negeri-negeri, Negeri-negeri Bersekutu, Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat. Dan semuanya diurus, ditentukan dasar dan perjalanan oleh pegawai-pegawai tinggi British.

Sebab itu apabila kita cuba menuntut kemerdekaan, ramai juga daripada rakyat di Malaysia dan juga pegawai-pegawai tertinggi yang berpendapat bahawa kita belum bersedia untuk mencapai kemerdekaan kerana kita tidak mampu mentadbir negara kita ini. Tetapi, alhamdulillah, perjuangan untuk kemerdekaan berjaya.

Pada 1957 negara kita merdeka, dan tanggungjawab mentadbir negara kita ini jatuh kepada pegawai-pegawai yang dahulu berkhidmat di bawah pegawai tinggi British, mereka ini pemimpin dan pentadbir peringkat pertengahan, dan ada yang berpendapat bahawa akan hancurlah negara kita.

Tetapi sebaliknya apa yang berlaku ialah pegawai-pegawai yang menjadi pemimpin barisan kedua dalam pentadbiran British ini mampu mengambil alih dan menyusun kerja supaya kita dapat teruskan pentadbiran negara kita dengan cekap dan berjaya.

Ini menunjukkan bahawa bukan benar kita tidak ada kebolehan. Kita mempunyai kebolehan, hanya kita tidak diberi peluang di zaman British. Apabila kita merdeka, maka kita dapat tadbir negara kita dengan baik, bahkan lebih baik daripada British jika dilihat pembangunan yang berlaku selepas kita merdeka.

Namun demikian, ada sebahagian daripada pentadbir-pentadbir yang biasa bekerja di bawah British yang tidak senang dengan mempunyai kerajaan sendiri, pimpinan orang Melayu, orang Malaysia, Tunku Abdul Rahman khususnya, Tun Razak [Hussein] dan mereka mendapati agak sukar bagi mereka mengalihkan kesetiaan mereka daripada kerajaan British kepada kerajaan merdeka Malaysia.

Tetapi ini tidak berlaku berpanjangan, sebaliknya dalam suatu jangka masa tidak panjang, kita dapat kesetiaan dialih daripada British kepada kerajaan yang dipimpin oleh rakyat kita sendiri, khusunya pada masa itu sebuah parti yang besar yang dikenali dengan nama Perikatan sudah dapat mendirikan kerajaan.

Tidak percaya perubahan

Kerajaan pada mulanya, kabinet pun mempunyai tiga orang British kerana dalam kerajaan sendiri pun ada juga perasaan [bahawa] orang tempatan tidak layak pegang jawatan-jawatan tertentu, terutamanya kewangan.

Sebab itu, ada tiga ahli kabinet Tunku Abdul Rahman yang terdiri daripada British, tetapi itu tidak lama kerana kita dapat mengambil alih dan mentadbir negara kita tanpa apa-apa campur tangan oleh pihak British ataupun pegawai-pegawai mereka.

Alhamdulillah, sejak daripada itu pentadbiran negara kita diuruskan oleh orang kita, orang tempatan, rakyat Malaysia dan kita dapat lihat bagaimana mereka berjaya menguasai segala bidang yang diperlukan untuk mentadbir negara dengan baik dan membangunkan negara. Tiada siapa dapat menafikan bahawa apabila kita merdeka, negara kita menjadi jauh lebih maju daripada di zaman British.

Di zaman British, tumpuan hanyalah kepada kepentingan British. Tetapi apabila kita mengambil alih menjadi negara merdeka, kerajaan yang terdiri daripada rakyat Malaysia menumpukan kepada kebaikan pentadbiran untuk pembangunan. Kalau pentadbiran negara kita ini tidak baik, maka mustahil kita dapat bangunkan, majukan negara kita.

Tetapi sekarang ini semua mengaku bahawa Malaysia setelah merdeka jauh lebih baik daripada Malaysia di bawah British yang kononnya begitu cekap dalam bidang pentadbiran.

Ini berjalan dengan baik selama 61 tahun negara kita ini diperintah oleh sebuah kerajaan sahaja iaitu kerajaan yang terdiri daripada satu parti campuran, yang pada mulanya bernama Perikatan dan kemudian bernama Barisan Nasional.

Pegawai-pegawai kerajaan, kakitangan kerajaan sudah berperasaan bahawa sampai bila-bila pun tidak akan ada pertukaran. Parti [Barisan Nasional] ini sahajalah yang layak mentadbir negara kita yang merdeka, yang layak dan mampu membangunkan negara kita.

Sebab itu secara langsung atau tidak langsung, mereka menumpukan kesetiaan mereka kepada kerajaan yang memerintah selama 61 tahun ini.

Mereka tidak percaya, ramai daripada mereka tidak percaya akan ada perubahan. Tetapi seperti mana kita tahu pada tahun 2018, pertukaran kerajaan, yang tidak pernah berlaku, telah berlaku pada 9 Mei pada tahun 2018.

[Pertukaran] ini mengejutkan semua daripada kita, termasuk mereka yang memenangi pilihan raya dan dikehendaki mendirikan kerajaan. Pegawai-pegawai tentu berada dalam keadaan serba salah kerana mereka tidak pernah ditadbir oleh orang-orang yang dahulu dianggap sebagai musuh, parti lawan adalah musuh kepada kerajaan, kerajaan yang didirikan oleh Barisan Nasional, tetapi sedikit sebanyak dimusuhi juga oleh pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Sekarang ini mereka terpaksa menukar kesetiaan mereka kepada kerajaan yang baru, yang dianggap oleh mereka sebagai musuh, musuh dahulu.

Dulu musuh, kini pemimpin

Kadang-kadang ada juga yang melempar kata-kata kesat terhadap mereka. Dan sekarang ini orang yang mencemuh mereka akan menjadi kerajaan dan pegawai-pegawai dikehendaki patuh setia kepada kerajaan yang baru ini.

Tentulah timbul banyak masalah dalam pentadbiran negara kerana masih ada, mungkin, yang berpendapat bahawa kerajaan yang baru ini tidak akan tahan lama, mungkin satu penggal sahaja. Dan kerajaan mentadbir dan memerintah negara ini selama 61 tahun akan kembali.

Dengan itu, mereka mempunyai kesetiaan yang berbelah bahagi. Ini sudah tentu tidak menyumbang kepada perjalanan yang licin dalam pentadbiran negara. Walaupun saya menjadi perdana menteri baharu tetapi saya juga dulu jadi perdana menteri. Walaupun ada pertukaran kerajaan [kini] tetapi pucuk pimpinan kerajaan orang yang sama dan orang yang sama ini tidaklah berubah banyak sangat.

Dia tidaklah jadi musuh kepada kerajaan, jentera kerajaan, sebaliknya dahulu kita bekerjasama baik sehingga maju negara kita ke tahap yang ia dikenali sebagai Harimau Asia.

Sekarang ini, orang yang sama menjadi pucuk pimpinan walaupun di belakangnya terdapat orang yang baru. Barupun tidak baru sangatlah. Yang lamapun ada juga dalam pemerintah yang baru ini.

Tetapi tidak dapat tidak, kita dapati sekarang ramai daripada menteri-menteri yang dahulu adalah parti lawan, musuh kerajaan, selama 61 tahun.

Untuk mengalih kesetiaan kepada kerajaan yang baru ini bukanlah mudah tetapi saya yakin boleh dilakukan kalau kerajaan yang baru ini mentadbir dengan baik, bertimbang rasa, adil dan sebagainya.

Setakat ini, saya fikir kita telah lihat pentadbiran kerajaan yang baru ini tidaklah banyak berbeza dengan kerajaan yang lama. Yang lama yang terdahululah [bawah Tun Dr Mahathir Mohamad], bukannya yang baru [penggal] lepas tadi.

Sebabnya pihak kerajaan yang 61 tahun ini dapat ditamatkan kerana kesilapan mereka. Ada perbuatan-perbuatan mereka yang tidak baik. Kalau itu tidak berlaku, tidak mungkin rakyat akan pilih kerajaan lain.

Bukanlah sangat rakyat memihak, mendukung parti-parti lawan yang berlawan dengan parti pemerintah. Tetapi kerana banyak kesalahan yang dilakukan oleh parti pemerintah yang menyebabkan rakyat menolak parti pemerintah dahulu dan menggantikannya dengan parti yang baru.

Walapun parti [Pakatan Harapan] ini baru tetapi caranya tidaklah banyak berubah daripada parti yang lama [semasa dipimpin Tun Dr Mahathir], yang lama sikitlah bukan yang baru lama. Jadi saya harap yang mendorong kita, untuk memberi khidmat kita, bukan kerana kerajaan sahaja tetapi kerana negara ini adalah negara kita.

Patuh kepada kerajaan

Kalau kita tidak mentadbir negara kita dengan baik, maka kitalah yang akan rugi, bukan cuma kerajaan sahaja yang akan rugi kita juga akan rugi.

Sebab itu dalam sistem pentadbiran demokrasi, pentadbir dikehendaki bersikap neutral, pentadbir dikehendaki patuh kepada kerajaan pilihan rakyat. Walaupun pentadbir mempunyai pendirian politik yang tersendiri tetapi dalam sistem kita ini, pentadbir akan akur kepada kehendak kerajaan pilihan rakyat.

Hanya cara itu sahaja, barulah kita akan dapat pentadbiran yang baik, baik bukan untuk kerajaan yang dipilih oleh rakyat tetapi baik untuk negara.

Kita perlu ingat bahawa pentadbiran sebuah negara, mentadbir kerana negara, bukan kerana si polan, si polan bukan kerana parti-parti itu dan parti ini tetapi kerana mereka menjalankan tugas untuk kebaikan negara.

Ya, kerajaan yang baru mungkin memberi arahan yang baru tetapi kalau arahan itu bertentangan dengan undang-undang, tidak perlu kita patuhi. Tetapi kalau ia mengikuti peruntukan undang-undang, menjadi tanggungjawab pentadbir untuk melaksanakan arahan, dasar dan sebagainya. Inilah cara kita dalam demokrasi.

Malaysia ini tidak kerap bertukar kerajaan walaupun Perdana Menteri bertukar juga tetapi kerajaan tidak bertukar sehingga 61 tahun. [Tempoh] 61 tahun agak lama bagi kita tetapi Mexico umpamanya hanya menukar kerajaan selepas 89 tahun.

Semasa saya masih memimpin kerajaan yang lama, saya tertanya-tanya kepada diri saya, bilakah parti saya ini akan kalah dan digantikan dengan kerajaan yang lain?

Saya bertanya kerana saya tahu hampir semua parti yang memenangi kemerdekaan bagi negara mereka sudahpun hilang. Parti di Indonesia, Masyumi sudah tidak ada lagi. Di India, Parti Kongres sudah tidak ada lagi. Di Pakistan, Liga Muslim sudah tidak ada lagi.

Kerana apabila kita mendapat kemerdekaan, peranan kita tidak serupa dengan masa kita berjuang untuk kemerdekaan.

Berjuang untuk kemerdekaan mungkin menyatupadukan rakyat kerana semua hendak kepada kemerdekaan. Tetapi selepas merdeka, ada pihak yang dipilih sebagai pemerintah dan kadang-kadang apabila diberi kuasa tertentu, mereka menyalahgunakan kuasa. Apabila mereka menyalahgunakan kuasa, maka akan tewaslah mereka dalam pilihan raya.

Sebab itu saya berkata bahawa parti yang memerintah selama 61 tahun itu tidak mungkin kalah jika mereka pegang kepada tugas mereka dan tidak salahgunakan kuasa yang diberi kepada mereka.

Pertukaran [kerajaan] ini penting kerana semua pihak tahu bahawa negara kita ini sudah dipimpin dengan cara yang tidak baik sehingga dikenali sebagai kleptocracy. Kleptocracy dalam perkataan bahasa Melayu ialah kerajaan penyangak.

Apakah kita hendak sebuah kerajaan penyangak? Rakyat tidak hendak sebab itu mereka mengalahkan kerajaan penyangak ini.

(Bahagian 2 bersambung esok)

* Suntingan dibuat hanya minimum untuk terjemahan dan kelancaran. Transkrip disediakan oleh Zaim Badrul Hisham, Izrin Mohamad Said dan Shafiqqul Aliff.


Pengarang :