RENCANA

Setia bersama pilihan rakyat (Bahagian 2)

Transkrip lengkap ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada lebih 1,000 pegawai kanan kerajaan pada 29 April 2019 di Putrajaya.

Tanda di dahi tapi rasuah

Kita gantikan dengan kerajaan yang baru, apakah kerajaan yang baru ini juga akan jadi penyangak? Mungkin, kalau kita tidak jaga-jaga tetapi setakat ini belumlah nampak sebarang kecenderungan untuk menyalahgunakan kuasa. Sebab itu jentera bagi pentadbiran amat penting sekali. Mereka pegang kepada syarat yang dikenakan kepada mereka iaitu sama ada kerajaan bertukar ataupun tidak, pentadbir hendaklah ikut kerajaan semasa.

Saya dapati bahawa selama hampir satu tahun kerajaan baru ini memerintah, umumnya kita tidak dapat banyak masalah dalam pentadbiran walaupun kita terpaksalah gugurkan mereka yang jelas menyeleweng dan melakukan kesalahan.

Yang lain, saya fikir, sedar bahawa sudah ada pertukaran kerajaan dan kerajaan ini mestilah berhak menentukan dasar-dasar pentadbiran negara. Tetapi dalam pada itu, kita dapati bahawa dalam usaha untuk membersihkan kerajaan, banyaklah perlakuan yang dibuat dahulu tidak dapat dilakukan sekarang.

Umpamanya, kalau ada pihak yang dahulu korup, terima rasuah, sebagai satu perkara biasa, hari ini kerana kerajaan ini menolak rasuah, maka mereka tidak dapat lagi [wang] daripada punca-punca itu. Saya percaya bahawa ramai yang tidak lagi mendapat upah tertentu berasa kecewa dengan kerajaan yang baru kerana kerajaan ini menghalang perbuatan yang curang dan merosakkan pentadbiran.

Kita tidak dapat elak daripada perkara ini. Dalam usaha kita untuk membersihkan pentadbiran negara, tumpuan [kita] ialah pencegahan rasuah. Kita tahu, dahulu, ada orang tertentu yang mendapat perlindungan daripada jentera kerajaan kerana mereka menggunakan rasuah dengan pegawai-pegawai kerajaan.

Apabila kita usahakan supaya itu dihentikan, maka ramailah daripada pegawai tertentu ini sudah tidak dapat lagi punca pendapatan tambahan ini. Dengan itu, mereka berasa kecewa, berasa seolah-olah kerajaan kleptokrasi [Barisan Nasional] lebih baik daripada kerajaan demokrasi [Pakatan Harapan]. Kita dapati setelah kita menang, sokongan kepada kerajaan ini sudah merosot, termasuk diri saya sendiri.

Tetapi walaupun merosot, kita akan teruskan dengan usaha kita untuk membersihkan negara kita daripada rasuah. Kenapa? Kerana rasuah akan menghancurkan negara kita; kerana adanya rasuah, segala tugas tidak dapat dijalankan dengan baik.

Kerana adanya rasuah, kos akan meningkat kerana kepada tiap-tiap kos yang kita belanja, kita perlu tambah kos rasuah. Bagi sesetengah pihak, mereka tidak akan dapat khidmat sama sekali kerana rasuah. Kita lihat negara yang terlibat dengan rasuah secara meluas tidak dapat dimajukan sama sekali.

Kalaupun mereka menukar pemerintah juga, ia [negara] tidak dapat dimajukan. Sebab itu kita mesti memerangi rasuah, perangilah rasuah dan bersihkan negara kita ini.

Saya teringat tentang pegawai-pegawai di zaman British. Mereka tidak banyak terlibat dengan rasuah. Mungkin pada masa itu tidak banyak orang kaya. Walau tidak banyak terlibat rasuah, tetapi lagak mereka seperti pegawai British, kehidupan mereka kebaratan.

Mereka minum arak dan sebagainya pada masa itu, sebab British juga minum arak dan kalau mahu nampak sama dengan mereka [British], kita kena minum arak.

Tetapi sekarang ini kita sudah buang tabiat itu. Kita tidak minum [arak] lagi, kita sekarang ini lebih warak daripada dulu. Ramai daripada kita, kita lihat ada tanda di dahi sebab mereka sembahyang tidak tinggal waktu.

Jelas sekali bahawa karakter pegawai-pegawai sekarang ini sudah bertukar. Mereka menjadi lebih [beragama], pegangan mereka kepada ajaran agama lebih kuat dari dahulu.

Tetapi kita dapati walaupun kuat pelajaran agama, sembahyang, puasa, zakat, buat kerja haji umrah tiga empat kali, tetapi apabila duit datang, terima juga [rasuah], ini yang peliknya.

Kalau arak itu haram, rasuah itu lebih haram lagi daripada arak kerana ia boleh merosakkan negara kita. Sebab itu kita perlu hapuskan amalan rasuah ini. Sebab itulah kita mengadakan badan yang lebih cergas, lebih komited, berkenaan dengan menghapuskan rasuah.

Undang undang sahaja tiada kesan

Kalau kita dapat hapuskan rasuah, maka pentadbiran kita akan menjadi begitu licin sehingga tidak ada halangan sama sekali terhadap pembangunan negara kerana pembangunan negara ini banyak bergantung kepada pegawai-pegawai dalam kerajaan.

Kalau pegawai itu tidak betul, terlibat dengan rasuah, maka tugasnya, kerjanya tidak akan diselenggarakan dengan baik. Sebab itulah, anggaplah, rasuah itu sebagai sesuatu yang haram sama seperti minuman yang haram tadi. Kalau kita mempunyai sifat yang semacam itu, maka kita tidak akan tempuh benda [rasuah] yang jijik ini, benda yang kotor ini.

Saya berpendapat bahawa negara kita tidaklah terlalu sangat terlibat dengan rasuah tetapi bawah pemerintahan yang sebelum ini, kita dapati bahawa rasuah berleluasa, dari pihak yang tertinggi, perdana menteri, sampai ke bawah, semuanya terlibat dengan rasuah.

Saya diberitahu di waktu itu, ada seorang wanita yang ingin pohon sesuatu dan dia berpendapat bahawa tentulah dia akan dapat apa yang diminta kerana kawannya yang ada dalam kerajaan akan menolongnya.

Tetapi apabila dia mengemukakan permohonan kepada kawannya, yang menjadi anggota dalam kerajaan, dia ditanya “berapa banyak nak bagi?”. Kawanpun tidak kira, pasal rasuah. Sungguh buruk amalan ini. Sebab itu kita mesti janji kepada diri kita, kepada masyarakat kita, kepada pentadbiran kita, bahawa rasuah tidak akan berlaku dalam pemerintahan ini.

Kita mempunyai undang-undang mencegah rasuah. Kalau mereka yang terlibat dengan rasuah dan dia dapati bersalah, maka ada hukuman tertentu yang akan dikenakan.

Tetapi dalam sesuatu masyarakat, undang undang semata-mata tidak mempunyai kesan. Kenapakah kita tidak curi, bukan kerana takut dituduh dan dihukum, tetapi kerana kita tahu benda itu tidak baik dan kita bendung diri kita, kita sekat diri kita, daripada perbuatan yang tidak baik ini walaupun tidak dilihat oleh sesiapa. Kita kawal diri kita, begitu jugalah [kawalan diri] dengan rasuah.

Janganlah ingat kata tidak akan siapa dapat tahu saya menerima ini, maka tidak apalah kalau saya lakukan sedikit ataupun sebanyak [rasuah] kerana sesiapa pun tidak tahu. Kita yang beragama Islam, kita tahu, Tuhan tahu apa yang kita buat.

Balasan mungkin datang di akhirat tetapi di dunia ini juga ada balasan kepada mereka yang pecah amanah, yang terlibat dengan rasuah.

Saya minta kepada semua jentera kerajaan supaya menolak rasuah sama sekali. Jangan ambil barang satu senpun duit rasuah ataupun hadiah-hadiah yang diberi, umpamanya dapat membeli rumah dengan harga yang murah dan sebaginya, semua ini adalah jenis-jenis rasuah.

Saya harap kita semua berikrar bahawa kita tidak akan terlibat dengan rasuah kerana perbuatan itu berdosa dan pebuatan itu salah dari segi undang undang. Kalau kita sayang kepada negara kita, kalau kita ingin negara kita maju dan dihormati oleh dunia, kita mesti tolak rasuah sama sekali.

Saya yakin apabila kita sudah tolak rasuah secara menyeluruh, maka negara kita ini akan menjadi satu negara yang maju, yang akan dihormati oleh dunia. Kita akan menjadi contoh kepada dunia.

Inilah harapan kita semua, saya yakin, dan saya harap sifat ini terdapat pada tiap-tiap seorang daripada kita. Tolak rasuah untuk majukan negara.

Sekian, terima kasih.

* Suntingan dibuat hanya minimum untuk terjemahan dan kelancaran. Transkrip disediakan oleh Zaim Badrul Hisham, Izrin Mohamad Said dan Shafiqqul Aliff.


Pengarang :