PBTSELANGOR

Sikap positif layakkan Norhana terima Anugerah Khas Yang Dipertua

OLEH SHEEDA FATHIL

RAWANG, 4 MEI: Sikap positif dan sentiasa suka mencuba sesuatu yang baharu antara resepi kejayaan Norhana Mohamad Noor apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).

Pegawai Perancang Bandar MDHS itu berkata, beliau berasa bersyukur dan terima kasih di atas kesudian MDHS memberikan penghargaan sedemikian kepadanya.

Katanya, menerusi penghargaan itu ia menjadikan beliau lebih bersemangat untuk meneruskan kerja dan optimis untuk meneruskan perancangan bagi menjadikan MDHS sebagai pihak berkuasa tempatan perbandaran pada masa akan datang.

“Sepanjang 20 tahun perkhidmatan saya di sini banyak kenangan dan bekerja dengan YDP (Yang DiPertua) juga sangat senang kerana beliau sukakan kepada pembaharuan.

“Malah, antara tips kejayaan ini juga mungkin disebabkan saya suka membuat beberapa inovasi selain sentiasa merancang sesuatu dan cuba untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 di Setia Eco Templer’s, di sini, malam tadi.

Turut hadir Yang DiPertua MDHS, Shukri Mohamad Hamin dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zamani Ahmad Mansor.

Terdahulu, seramai 35 kakitangan MDHS menerima penghargaan menerusi APC 2018 dengan membawa pulang sijil dan wang tunai.

Difahamkan penerima dipilih melalui tapisan dan kriteria ditetapkan Panel Pembangunan Sumber Manusia MDHS dan perakuan Pengarah Jabatan serta Ketua Bahagian masing-masing.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)


Pengarang :