BERITA UTAMASELANGOR

Sinergi pemimpin, penjawat awam bagi jadikan Selangor gah

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 MEI: Sinergi antara pemimpin dan penjawat awam penting demi merealisasikan hasrat menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri utama di rantau Asia Tenggara, menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, fungsi penjawat awam sangat penting supaya semua dasar yang dicadangkan pemimpin dapat dilaksana dengan baik.

“Dengan 10 tahun pengalaman mengajar kita untuk saling menghormati dan menjaga profesionalisme supaya pelaksanaan dapat dilakukan dengan baik.

“Kita memberikan kepercayaan tinggi kepada penjawat awam…Dahulunya (perancangan) diberikan kepada perunding atau orang luar tetapi sekarang kita memberikan peluang kepada penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena penganjuran sulung Dialogue@Shah Alam yang menampilkan bekas menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mengangkat tajuk Malaysia Baharu: Menggarap Sinergi Politikus dan Penjawat Awam, program itu berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Amirudin berkata, penganjuran program itu selaras pembentangan Belanjawan Selangor 2019 untuk mewujudkan budaya ilmu dan saling bertukar pandangan ke arah lebih baik.


Pengarang :