SELANGOR

Singgah Sahur Pekerti MPK santuni anggota keselamatan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 MEI: Pertubuhan Kebajikan Pekerja Islam (Pekerti) Majlis Perbandaran Klang (MPK) komited menyantuni anggota keselamatan menerusi program Singgah Sahur Pekerti MPK 2019, awal pagi tadi.

Setiausaha Kehormatnya, Maisarah Abu Hassan berkata, program itu kali pertama dianjurkan membabitkan lawatan dan agihan juadah ke agensi kerajaan terpilih, di sekitar Klang.

Katanya, antara agensi kerajaan terpilih adalah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Klang Selatan; IPD Klang Utara; Balai Bomba Kota Raja dan Balai Bomba Sungai Pinang.

“Objektif pelaksanaan program ini bagi menyampaikan juadah dan menyantuni mereka yang sentiasa sibuk memastikan keselamatan negara dalam keadaan baik.

“Inisiatif ini juga dilaksanakan bagi menyantuni anggota bertugas dan bersahur bersama mereka yang kadangkala tiada masa pulang ke rumah bersahur bersama keluarga,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Hampir 100 juadah sahur dan sumbangan diagihkan kepada agensi keselamatan terbabit dalam program itu yang disampaikan Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi.


Pengarang :