BERITA UTAMANASIONAL

Sisa plastik haram UK ditemui dalam hutan Perak

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 MEI: Sampah plastik haram yang asalnya untuk dilupus di United Kingdom ditemui di sebuah hutan dekat Ipoh, Perak.

Longgokan sampah setinggi enam meter itu akan didedahkan di stesen BBC menerusi siri dokumentari “War on Plastic” yang bermula 10 Jun ini, lapor Daily Mail kelmarin.

“Ia seumpama mimpi kesengsaraan dan kacau bilau masa depan … sebuah planet plastik,” kata penyampai televisyen itu Hugh Fearnley-Whittingstall, yang juga cef selebriti.

Lebih mengejutkan, tambahnya, sampah itu dipercayai dibawa masuk oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Britain berdasarkan label di beg kitar semula yang ditemui.

Akhbar itu menyebut warga Britain menyangka mereka membuang sampah untuk diproses oleh PBT di sana tanpa menyedari ia dieksport lebih 10,460 kilometer ke Malaysia.

Daily Mail tidak menyatakan lokasi tepat longgokan sampah terbabit, namun Sahabat Alam Malaysia di Facebooknya menyatakan sisa plastik haram itu ditemui berdekatan Ipoh.

FOTO KREDIT: Facebook Rachel Smith


Pengarang :