SELANGOR

Sistem bekalan air kekal ke Kolam Lipat Kajang beroperasi sepenuhnya

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Sistem bekalan air kekal ke Kolam Lipat Kajang kembali beroperasi sepenuhnya selepas kerja pemasangan dan pengalihan paip baharu 1400 mm siap dilaksanakan pada pukul 3 petang ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata, kerja pemasangan tersebut dilaksanakan ekoran insiden tiga paip utama pecah berhampiran projek Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping.

“Jajaran paip baharu 1400 mm ini merupakan penyelesaian kekal untuk saluran bekalan air kepada pelanggan yang menerima bekalan dari Kolam Lipat Kajang.

“Pengaktifan paip utama baharu ini dapat meningkatkan kapasiti bekalan air terawat ke kolam tersebut dan pemulihan sepenuhnya ke semua kawasan yang terjejas,” katanya.

Abdul Raof berkata, sehingga 6 petang ini, peratusan pemulihan bekalan air masih berada pada tahap 99 peratus dan hanya beberapa lokasi dan premis di Bandar Putera 2 dan Taman Sentosa yang belum pulih sepenuhnya.

Terdahulu, dilaporkan insiden tiga paip utama pecah pada awal Mei lalu itu menyebabkan hampir 800,000 pengguna di 65 kawasan di Klang terjejas.

-BERNAMA


Pengarang :