OLEH ZAREEF MUZAMMIL
SHAH ALAM, 11 MEI: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM50 juta menerusi pembiayaan Skim Smart Sewa bagi membolehkan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman Rumah Selangorku.
Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peruntukan dana berkenaan diwujudkan selepas menyedari bilangan penolakan tawaran Rumah Selangorku, khususnya pemohon yang gagal mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan ekoran tidak memenuhi syarat ditetapkan.
Katanya, hampir 50,000 tawaran perumahan mampu milik itu diluluskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sehingga Mac lalu.
“Namun, kira-kira 35 peratus pemohon Rumah Selangorku berdepan masalah pembiayaan pinjaman perumahan daripada institusi kewangan, disebabkan pelbagai isu seperti tunggakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kad kredit.
“Disebabkan masalah ini dan kos sara hidup semakin meningkat, permintaan terhadap rumah mampu milik sentiasa didengari daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Dasar Perumahan Mampu Milik Negara yang turut dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, di Elmina Community Park di sini, hari ini.