SKMM: Frekuensi 5G selamat untuk semua | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

SKMM: Frekuensi 5G selamat untuk semua

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Radiasi selular atau teknologi frekuensi radio dalam rangkaian 5G adalah selamat dan tidak berbahaya kepada kesihatan seseorang, termasuk kanak-kanak, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Al-Ishsal Ishak.

Beliau berkata cerita-cerita menakutkan dan ketakutan ramai terhadap kononnya 5G boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk barah, terutama pada kanak-kanak, adalah mengarut.

“Sudah tentu 5G selamat dan tidak memberi kesan kepada manusia pada tahap mana sekalipun termasuk bagi kanak-kanak di rumah…. 5G tidak boleh memberi kesan kepada molekul kita kerana ia cuma menghasilkan haba,” kata Al-Ishsal ketika ditemu bual dalam program “Breakfast Grille programme” yang disiarkan oleh BFM Radio hari ini.


Beliau berkata ia adalah dapatan satu kajian oleh SKMM dan disahkan oleh pakar mengenai spektrum, Prof Dr Tharek Abd Rahman, yang juga Ahli Suruhanjaya SKMM.

“Bukan sahaja SKMM, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menjalankan kajian sejak lebih 30 tahun lepas terhadap kira-kira 25,000 penerbitan bahan hasil kajian yang secara jelas menyatakan bahawa tiada kesan daripada pendedahan kepada medan elektromagnetik bertahap rendah,” kata beliau.

Diminta mengulas pelan kesalinghubungan SKMM untuk masa depan, beliau berkata suruhanjaya itu telah menyenaraikan tujuh objektif di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) termasuk pakej permulaan jalur lebar talian tetap pada kadar 1 peratus Pendapatan Negara Kasar (PNK / GNI) menjelang 2020 dan ketersediaan kelajuan Gigabit di kawasan perindustrian terpilih menjelang 2020 dan ke semua ibu negeri menjelang 2023.

Beliau berkata objektif lain ialah 100 peratus premis di ibu negeri dan kawasan berimpak tinggi terpillih tersedia dengan capaian minima 500Mbps menjelang tahun 2021, 20 peratus premis di kawasan pinggir bandar dan luar bandar tersedia dengan capaian sehingga 500Mbps menjelang 2022 dan kelajuan purata 30Mbps di 98 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2023)

“Rangkaian gentian melebihi 70 peratus bilangan sekolah, hospital, perpustakaan, balai polis dan pejabat pos menjelang 2022 selain menambah baik liputan mudah alih di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo apabila siap kelak… ia sebuah cita-cita yang besar tetapi kami yakin dapat mencapainya,” kata beliau.

Beliau menambah, adalah menjadi aspirasi kerajaan untuk menjangkau dan memastikan seluruh masyarakat mendapat ketersambungan terbaik termasuk bagi mereka yang tinggal di luar bandar.

“Kita masih mempunyai segmen masyarakat yang masih belum mempunyai walaupun satu sambungan meskipun akses kepada Internet adalah satu perkhidmatan utiliti yang asas… buat masa ini kita mempunyai 870 Pusat Internet terutama di kawasan luar bandar dan kawasan miskin yang memberi manfaat kepada 600,000 rakyat Malaysia.

“Lima puluh tujuh peratus daripada mereka adalah pelajar… Pusat Internet, berdasarkan rekod, telah melahirkan atau membantu sebanyak 16,898 IKS (Industri Kecil dan Sederhana) dan membantu menaikkan gaji mereka,” kata beliau.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next