MUAR, 21 Mei — Pemilik butik Songkok Masood Hussin, Nur Dalila Abd Ghani, 39, bersama suaminya Zahadi Zakaria, 41, menunjukan antara jenis songkok yang dihasilkan ketika ditemui Bernama baru – baru ini. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
RENCANA

‘Songkok Masood’ jadi pilihan 1 Syawal

MUAR, 21 MEI: Ciri-ciri songkok seperti tahan lasak, kemas dan selesa pada ‘Songkok Masood’ menyebabkan pelanggan dari jauh seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Melaka dan Johor Baharu sanggup datang ke bandar Maharani semata-mata untuk mendapat songkok tersebut.

Pemilik butik Songkok Masood Hussin, Nur Dalila Abd Ghani, 39 berkata butiknya sentiasa sibuk sepanjang tahun lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan kerana beliau terpaksa menyiapkan lebih banyak tempahan daripada pelanggan bagi menyambut 1 Syawal.

“Bulan Ramadan adalah antara bulan yang paling sibuk selain pada waktu cuti sekolah dan hari kemerdekaan kerana pada ketika itu saya perlu siapkan banyak tempahan,”katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata rata-rata pelanggan memuji songkok buatan tanganya yang dikatan lebih tahan lama, kemas dan selesa.

Katanya beliau bukan hanya menerima pelanggan dari sekiar bandar Muar sebaliknya dari luar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, Melaka dan Johor .

“Saya ada terima tempahan daripada negara jiran Brunei beberapa tahun lepas dan berharap dapat kembangkan lagi ‘Songkok Masood’ ke negara jiran lain seperti Indonesia dan Singapura satu hari nanti,” katanya.

Nur Dalila berkata beliau mewarisi ilmu membuat songkok secara turun temurun daripada datuknya Allahyarham Masood Hussin dan mula mengambil alih perniagaan membuat songkok pada 2002 selepas menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau berkata nama butik tersebut diambil sempena nama datuknya dan kedai songkok datuknya sebelum ini dikenali sebagai ‘Toko Harmuni’ bermula sejak 1954.

Katanya selepas mengambil alih perniagaan, beliau dibantu suaminya, Zahadi Zakaria, 41 sentiasa bertukar-tukar pendapat bagi mengangkat martabat sokong dengan memperkenalkan butik songkok agar ianya diterima oleh generasi muda.

“Alhamduillah ‘Songkok Masood’ bukan hanya menjadi pilihan generasi muda tetapi sejka kebelakangan ini kita ada menerima tempahan songkok untuk bayi,”katanya.

Nur Dalila berkata untuk lebih maju beliau dan suaminya sentiasa berusaha mencari kelainan dalam menambah baik reka bentuk dan penjenamaan ‘Songkok Masood’ agar terus diterima ramai.

Beliau berkata songkok dijual bermula pada harga RM70 hingga RM400 bergantung kepada jenis fabrik dan jenis dan ketinggian songkok.

-BERNAMA


Pengarang :