NASIONAL

Speaker Dewan Rakyat: Parlimen telah laksana pembaharuan

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Parlimen telah melaksanakan beberapa pembaharuan yang mencabar dalam tempoh setahun sejak Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, kata Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Beliau berkata, perkara paling utama kepada usaha-usaha pembaharuan berkenaan ialah menginstitusikan enam Jawatankuasa Pilihan Khas, di mana ada di antaranya telah memulakan tugas sejak Januari tahun ini.

Jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan adalah Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang; Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet; Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri; Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antara Negeri-Negeri dan Persekutuan; Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam dan Jawatankuasa Pillihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender.

Mohamad Ariff berkata, kesemua jawatankuasa itu diwakili pelbagai parti politik dan berkuasa untuk melakukan pengawasan terhadap dasar dan kewangan sesebuah kementerian tertentu dan ada kuasa untuk memanggil seseorang atau menyemak rekod dan dokumen.

“Terdapat keperluan untuk menubuhkan beberapa lagi jawatankuasa pilihan untuk meliputi beberapa bidang kritikal, seperti Alam Sekitar, Hal Ehwal Antarabangsa dan Hak Asasi Manusia,” katanya ketika berucap pada ‘Seminar PRU14 dan Setahun Selepasnya: Analisis dan Perspektif’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, hari ini.

Mohamad Ariff berkata, perubahan teknikal kepada amalan-amalan juga telah dibuat untuk menjadikan Dewan Rakyat lebih efisien dan adil termasuk memastikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara adalah seorang anggota pembangkang.

Beliau juga berkata, Dewan Rakyat selepas PRU14 telah menyatakan misinya untuk menjadi lebih berorientasikan rakyat dan mesra rakyat.

“Kami membuka pintu kepada orang ramai untuk menyertai wacana-wacana yang kami adakan. Langkah ini sudah tentu termasuk tokoh-tokoh dan para penyelidik dari dunia akademik, para penuntut universiti dan malah pelajar sekolah,” kata beliau yang menambah, ia akan meningkatkan rasa hormat orang ramai kepada institusi berkenaan.

Mohamad Ariff berharap Parlimen Malaysia akan mencapai kematangan sebagai sebuah institusi perundangan dan menjadi penanda aras antarabangsa seperti yang disarankan oleh Persatuan Ahli-Ahli Parlimen Komanwel (CPA).

“Kita akan membuat perbandingan antara pencapaian kita dengan tanda aras antarabangsa CPA, dan mungkin dalam tempoh setahun dari sekarang, saya boleh melaporkan tentang kemajuan selanjutnya, ke arah mempertingkatkan maruah Parlimen kita bagi mencapai kedudukan yang sepatutnya dicapainya dalam skim institusi,” kata beliau.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :