SPREAD LOVE rai anak yatim, pelajar tahfiz dan ibu tunggal | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Norway

Wartawan

Norhayati Umor

SPREAD LOVE rai anak yatim, pelajar tahfiz dan ibu tunggal

OLEH NORHAYATI UMOR

AMPANG, 20 MEI: Kira-kira 200 anak yatim, pelajar tahfiz dan ibu tunggal diraikan Persatuan Semarak Cinta Kasih (SPREAD LOVE) pada majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Aidilfitri di 9 Kedondong, Ampang Hilir, baru-baru ini.

Pengasasnya, Datin Dr Hasnorliza Abu Hassan berkata, majlis itu bertujuan untuk berkongsi kegembiraan bersama golongan kurang bernasib baik pada Ramadan.


Katanya, selain merapatkan silaturahim, program itu juga menjadi landasan perjuangan persatuan berkenaan bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan.

“Acara tahunan ini membentuk satu persepsi baharu kepada proses menghayati amalan sepanjang Ramadan ini.

“Pihak persatuan ikhlas membantu golongan ini supaya mereka juga dapat meraikan Ramadan dan kedatangan Aidilfitri dengan penuh bermakna,” katanya pada program itu.

Dr Hasnorliza atau lebih dikenali sebagai Dr Leez berkata, program itu akan menjadi usaha berterusan SPREAD LOVE dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat.

“Arwah bapa sering berpesan, jika hendak berjaya perlu ingat asal usul dan sentiasa bersyukur serta berkongsi nikmat bersama orang lain serta tidak lupa kepada pencipta.

“Pesanan itu membuatkan saya tidak pernah lupa akan tanggungjawab membantu masyarakat khususnya golongan kurang berkemampuan,” katanya yang merupakan anak kedua kepada Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hasan Omar.

Terdahulu, SPREAD LOVE dirasmikan oleh Isteri Dato’ Menteri Besar, Masdiana Mohamad.

Pada majlis itu, selain sumbangan duit raya, pihak pengurusan rumah anak yatim, tahfiz dan ibu tunggal turut menerima barang keperluan harian bagi meringankan beban menyediakan juadah ketika Ramadan ini.

 

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next