NASIONAL

SPRM nafi tidak siasat projek Taman Rimba Kiara

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan kononnya suruhanjaya itu tidak menyiasat dan bertindak atas aduan rasuah membabitkan pembangunan projek Taman Rimba Kiara di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya pernah menyiasat kes berkenaan sebelum ini.

“Ya, kes ini SPRM telah siasat, tidak benar kalau ada pihak mengatakan kami tidak bertindak. Oleh itu, SPRM perlu melihat balik jika ada isu-isu baru dikemukakan kepada SPRM.

“Selain itu, saya telah mengarahkan pegawai penyiasat saya untuk mendapatkan beberapa maklumat lanjut daripada pihak tertentu dan secepat mungkin untuk kami kemukakan kes ini kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup kursus ‘Anti-Corruption Training’ untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nasional (ONACC) Thailand, di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, di sini hari ini.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot tanah seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

Keputusan itu mendapat bantahan penduduk TTDI yang mendakwa projek berkenaan bakal menghapuskan kehijauan alam semula jadi di kawasan tersebut.

Antara pembangunan akan diteruskan, empat blok kondominium berbanding lapan blok sebelum ini serta satu blok rumah mampu milik yang akan diserahkan kepada 100 penduduk rumah panjang.

-BERNAMA


Pengarang :