NASIONAL

Srikandi mahu medium wanita muda giat politik diperbanyak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 19 MEI: Srikandi KEADILAN mahu medium untuk wanita muda bergiat dalam dunia politik dan gerak kerja masyarakat diperbanyakkan.

Ketua Srikandinya, Nurainie Haziqah Shafii berkata, gerakan itu mempunyai visi untuk memperkasa wanita muda meliputi pelbagai aspek, terutama penglibatan dalam pembentukan sosial masyarakat melalui pelbagai bentuk program dan aktiviti yang sudah direncana.

“Ini termasuk konvensyen tahunan antarabangsa berkaitan hal ehwal wanita muda, sesi sembang santai bersama pemimpin wanita tempatan dan luar negara, pertandingan sukan dan rekreasi seperti futsal, bola jaring serta sukan ekstrem.

“Melalui dana ‘Youth Power Programme’ yang akan diselia Kementerian Belia dan Sukan, saya berharap golongan wanita muda diberi perhatian, ruang serta peluang khusus untuk menjadi sebahagian daripada mereka yang menerima manfaat, sekali gus menjayakan inisiatif berkenaan,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Terdahulu, kenyataan itu merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan peruntukan RM150 juta yang bakal disalurkan untuk pembangunan modal insan belia negara.

Selain menyambut baik inisiatif terbabit, Srikandi KEADILAN berharap wanita muda di Malaysia tidak lagi terasing daripada mendapat manfaat sedemikian memandangkan konotasi anak muda sering hanya dikaitkan dengan anak muda lelaki.

Dalam kenyataan sama, beliau yang juga Presiden Girl2Leader Malaysia berkata, wanita muda wajar diberi ‘Equal Representation’ melalui ‘Youth Power Clubs’ yang bakal diwujudkan di 222 kawasan parlimen seluruh negara.

Katanya, hal itu memandangkan’Youth Power Clubs’ mampu bertindak sebagai landasan latihan kepada bakal pemimpin wanita.

“Justeru, saya menggesa Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya melihat penglibatan wanita muda dalam arena yang sering dimonopoli kaum lelaki bukan sekadar untuk memberi peluang sama rata, tetapi turut mengiktiraf kemampuan wanita muda dalam menerajui sesuatu bidang,” katanya.


Pengarang :