SELANGOR

SSDU rai 45 penghuni Rumah Amal Al-Firdaus

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 29 MEI: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) meraikan 45 kanak-kanak Rumah Amal Al- Firdaus Denai Alam dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di sini, kelmarin.

Program tradisi anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri itu dianjurkan untuk menceriakan 15 kanak-kanak lelaki dan 30 perempuan berusia antara dua hingga enam tahun di rumah kebajikan berkenaan.

SSDU dalam kenyataan berkata, ia juga bertujuan meringankan beban penghuni di rumah kebajikan terbabit menerusi sumbangan berbentuk barangan kelengkapan bagi persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.

“Program ini adalah salah satu pendekatan bagi kerja kesukarelawan warga kerja SSDU di samping dapat beramal sempena Ramadhan.

“Program seumpama ini turut mampu memberi impak positif kepada semua yang membabitkan diri sekali gus berkongsi rezeki dan kegembiraan bersama,” katanya.

Selain sumbangan kelengkapan raya, anak-anak di rumah terbabit turut berpeluang menikmati sajian Mc Donald’s yang disediakan SSDU.

Rumah Amal al-Firdaus adalah sebuah rumah kebajikan dan pendidikan ditubuhkan pada 25 Jun 2010 yang berperanan mendidik serta mengasuh kanak-kanak.

Ia dikelolakan Syamsiati Said berbekalkan semangat untuk berkhidmat kepada masyarakat, khususnya anak-anak bangsa.

Dalam pada itu, Syamsiati turut merakamkan penghargaan kepada SSDU atas penganjuran program CSR dan sumbangan berkenaan yang memberi manfaat kepada seluruh penghuninya.


Pengarang :