NASIONAL

Statut Rom: Pensyarah perlu bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Empat pensyarah yang terbabit dalam rumusan eksekutif Statut Rom yang dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja, pada 2 April lalu perlu bertanggungjawab dan bersedia memikul akauntabiliti terhadap apa jua yang ingin mereka ketengahkan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, ia selari dengan janji kerajaan untuk mengangkat kebebasan akademik seperti yang diputuskan Kabinet sebelum ini.

“Pada masa sama, kita berharap isu ini diperdebat secara ilmiah dan berfakta tanpa mempunyai niat tertentu sama ada bersifat politik atau tidak.

“Oleh yang demikian, mereka yang terbabit perlu bertanggungjawab dan bersedia memikul akauntabiliti terhadap apa jua yang mahu diperdebatkan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas surat terbuka yang ditujukan kepadanya daripada anggota kumpulan bekas penjawat awam G25 Tan Sri Alwi Jantan yang dilaporkan di laman sebuah portal berita, merujuk kepada tindakan empat pensyarah terbabit yang dilihatnya melakukan kesalahan sebagai penjawat awam.

Rumusan eksekutif bagi meratifikasikan Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) itu dilakukan Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr Rahmat Mohamad; pakar Perlembagaan Persekutuan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz serta dua pensyarah undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) iaitu Dr Fareed Mohd Hassan dan Hisham Hanapi.

Alwi mempersoalkan sama ada tindakan keempat-empat ahli akademik itu mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada naib canselor masing-masing sebelum membentangkan rumusan kertas kerja kepada Majlis Raja-Raja.

-BERNAMA


Pengarang :