SELANGOR

Subang Jaya peneraju bandar mesra wanita

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SUBANG JAYA, 11 MEI: Bagi menjaga keharmonian kejiranan setempat, pembangunan bandar mesra wanita bakal dibangunkan di Subang Jaya yang mengambil kira faktor keselamatan dan keselesaan penghuninya.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata, langkah itu memberi keselesaan kepada semua, terutama membabitkan wanita yang sering dikaitkan dengan golongan sasaran penjenayah.

Katanya, ia dilaksanakan bagi memenuhi keperluan dan kehendak kira-kira 50 peratus wanita daripada 790,000 penduduk di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

“Selain penambah baikan kemudahan sedia ada, usaha ini adalah untuk memperkasakan penglibatan wanita dalam penyediaan servis mesra wanita merangkumi aspek keselamatan, kesihatan, dan perniagaan khususnya kepada golongan B40.

“Jadi, MPSJ sedang mempergiatkan usaha untuk menjadi PBT pertama di Malaysia ke arah bandar mesra wanita selaras dengan aspirasi Pelan Tindakan Agenda Perbandaran Baru dan Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Majlis Sambutan Hari Ibu peringkat MPSJ dan Pelancaran Indahnya Raya Da Men di Ruang Legar Pusat Membeli-Belah Da Men, hari ini.

Turut hadir, Ahli Majlis Zon 4 Subang Jaya, Kamarul Hisham Yeop Hashim; Penasihat Da Men Mall, Dato’ Abdul Wahab Khalil dan Pengurus Kanan Sewaan Da Men Mall, Joanne Kuan.

Noraini berkata, bandar mesra wanita itu bakal dilengkapi prasarana fizikal seperti bilik penyusuan selesa, tandas dan surau lebih luas.

“MPSJ menyedari kehendak dalam kalangan masyarakat dan sudah tiba masanya kami mengungguli keperluan komuniti dalam segmen wanita agar golongan kanak-kanak, ibu tunggal dan warga emas berasa selamat.

“Saya berharap menerusi inisiatif yang dilaksanakan ini bakal memberdayakan wanita di pentadbiran MPSJ supaya sentiasa maju dan berdaya saing juga menjana ekonomi keluarga pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, lebih 200 ibu terpilih dari seluruh kawasan pentadbiran MPSJ diraikan dalam majlis yang turut mendapat kerjasama Puspanita MPSJ, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Pusat Wanita Berdaya (PWB) Selangor dan badan bukan kerajaan (NGO) SJ Care Warrior.

Sambutan itu bertujuan menghargai peranan dan sumbangan ibu sama ada wanita berkerjaya atau suri rumah yang sentiasa menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak.

 


Pengarang :