BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor berkenan rasmi Masjid Al-Falah

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

RAWANG, 21 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid Al-Falah, Taman Tun Teja, di sini hari ini.

Baginda bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin tiba di masjid berkenaan sekitar 6.10 petang.

Turut berkenan hadir ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Hadir sama, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Rahim dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim.

Masjid dua tingkat yang dibina berkonsepkan Melayu klasik itu menelan kos RM10 juta dan mampu menampung sehingga 2,000 jemaah, pada satu masa.

Mula dibina pada Ogos 2015 di atas tapak berkeluasan 0.84 hektar, masjid itu siap sepenuhnya dan beroperasi pada 2 Februari 2018.

Pada majlis sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyerahkan sumbangan Aidilfitri RM500 setiap seorang kepada 79 asnaf fakir, 207 asnaf miskin dan 193 mualaf membabitkan jumlah zakat RM224,500.

Baginda turut berbuka puasa bersama rakyat dan menunaikan solat Maghrib berjemaah diikuti solat Isyak serta tarawih.


Pengarang :