BERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor berkenan rasmi Masjid Kompleks Pertanian Serdang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERDANG, 27 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid Kompleks Pertanian Serdang yang telah siap dinaiktaraf pada 2016.

Masjid yang dibina pada 1929 itu menjalani kerja penambahbaikan berikutan pertambahan ahli kariah, saban tahun.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Selangor kira-kira jam 6.15 petang disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Yang turut hadir menyambut ketibaan baginda ialah Pegawai Daerah Petaling, Datin Paduka Roslinah Md Jani, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim dan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Sultan Sharafuddin pada majlis itu turut berkenan menyertai majlis berbuka puasa bersama rakyat dan kemudiannya berangkat menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.

Terdahulu, Masjid Kompleks Pertanian Serdang yang terletak di dalam sebahagian daripada kawasan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) asalnya diperbuat daripada kayu yang boleh memuatkan 700 orang jemaah.

Namun pada 1956, ia dinaiktaraf untuk menampung kira-kira 1,000 jemaah, peningkatan itu berlaku disebabkan kewujudan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan taman-taman perumahan yang berdekatan.

Sementara itu Roslinah dalam sembah ucapan Majlis Berbuka Puasa Sultan Selangor bersama rakyat berkata, masjid yang memulakan pembinaan semula pada tahun 2012 itu mampu menampung seramai 4,000 jemaah.

Katanya, peruntukan bagi pembinaan masjid baharu itu adalah melalui hasil kutipan dana dan sumbangan oleh orang ramai, termasuk Lembaga Zakat Selangor yang turut memberi dana.

“Dengan berkat dan usaha jawatankuasa serta kariah masjid sejak tahun 2008, peruntukan yang berjaya diperolehi melalui kutipan sumbangan selama empat tahun adalah berjumlah RM 8.3 juta.

“Pembinaan masjid ini mengambil masa selama empat tahun dan selesai pada tahun 2016,” katanya.


Pengarang :