Processed with VSCO with a6 preset
BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor berkenan rasmi masjid, serah sumbangan Aidilfitri

OEH AFIX REDZUAN

AMPANG, 18 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat mencemar duli untuk menyempurnakan perasmian Masjid Taman Kosas serta menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada asnaf di Ampang, daerah Hulu Langat.

Baginda yang segak mengenakan baju Melayu berwarna ungu tiba sekitar jam 6.30 petang disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Masjid Taman Kosas mula dibina pada 18 April 2007 lalu dengan pembiayaan sepenuhnya RM4 juta daripada Kerajaan Negeri dan siap pada 12 Februari 2008.

Nama Kosas yang digunakan masjid ini adalah singkatan daripada nama Koperasi Anak-Anak Selangor yang diterima pakai Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat.

Solat Jumaat pertama dimulakan pada 23 Mei 2008 bersamaan 18 Jamadil Awal 1429H dengan persetujuan Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat.

Masjid yang dipengerusikan Raja Saharullhana Raja Othman ini bersaiz kecil dan terbuka di dewan solat utama, mampu menampung sehingga 2,000 jemaah dalam satu masa.

Dalam majlis sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada 254 asnaf fakir dan 148 asnaf muallaf bagi daerah Hulu Langat.

Secara keseluruhan Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengenal pasti 2,612 asnaf fakir, 5,572 asnaf miskin serta 687 asnaf muallaf di daerah Hulu Langat bagi tahun ini.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :