BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor dan RMS solat Jumaat di Kampung Baru

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru, Jalan Raja Alang, hari ini.

Baginda tiba sekitar 1 tengah hari bersama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, disambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Mufti Selangor, Dato’ Seri Utama Mohd Tamyes Abd Wahid dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim.

Sementara itu, khutbah hari ini membicarakan topik ‘Al-Quran Di Hati, Ummah Diberkati’ yang mengingatkan umat Islam supaya melazimkan bacaan al-Quran termasuk di luar bulan Ramadan, memahami serta mengamalkannya dalam kehidupan.

“Ramadan adalah bulan terbaik untuk kita lebih mendekati al-Quran. Inilah masanya kita berusaha untuk mengkhatamkan al-Quran dengan cara dan kaedah yang sesuai seperti mengambil masa membacanya selepas solat fardhu untuk membaca sekurang-kurang empat halaman.

“Bahkan, waktu sebelum berbuka puasa juga adalah sangat sesuai sambil menunggu azan berkumandang. Jika disiplin ini kita berjaya lakukan, Insya-Allah kita berjaya mengkhatamkan al-Quran pada bulan yang penuh keberkatan ini,” katanya.

Sejurus selesai solat, jemaah mengambil kesempatan bersalaman dengan Sultan Sharafuddin dan Tengku Amir Shah sebelum baginda berangkat meninggalkan perkarangan masjid.

 


Pengarang :