BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor gantung gelaran Najib, Rosmah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan untuk mengantung gelaran Dato’ dan Dato’ Seri yang dikurniakan kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 1992 dan 2004.

Turut digantung gelaran Datin Paduka Seri dikurniakan kepada Datin Seri Rosmah Mansor pada 2005.

Pembatalan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua itu berkuatkuasa 6 Mei lalu.

Manakala, pengantungan Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama itu turut berkuatkuasa pada tarikh sama.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, gelaran itu digantung berikutan kes beliau di mahkamah di atas beberapa pertuduhan membabitkan kes rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram.

“Gelaran Najib itu digantung berkuatkuasa 6 Mei sehingga kes perbicaraan dan rayuan (jika ada) membabitkan beliau selesai di Mahkamah.

“Manakala, Rosmah didakwa di mahkamah di atas beberapa pertuduhan berkaitan kes rasuah, penggubahan wang haram dan kes Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Penggantungan gelaran ini dan penggunaan Darjah Kebesaran dikurniakan oleh DYMM Sultan Selangor ini akan disemak semula selepas kes dimuktamadkan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Amin yang juga merangkap Pendaftar Darjah Kebesaran Selangor berkata, penggantungan itu selaras dengan kuasa Baginda di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi diamalkan di Selangor.

Pada masa sama, gelaran Dato’ bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Syarikat NGV Tech Sdn Bhd, Zulkifli Shariff pada 2010, ditarik balik.

Zulkifli yang dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S.) itu, diisytiharkan bankrap oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.

“Maka dengan ini, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran D.S.I.S. adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuatkuasa 6 Mei, memandangkan beliau adalah seorang yang tidak layak dan sesuai memegang Darjah Kebesaran ini.

“Justeru itu, beliau dilarang daripada menggunakan Darjah Kebesaran dan gelaran Dato’, dan begitu juga mana-mana pihak lain turut ditegah daripada memanggil beliau dengan menggunakan gelaran berkenaan memandangkan kurniaan itu ditarik balik dan dibatalkan,” katanya.

 


Pengarang :