Sultan Selangor: Melayu berpecah, makin longlai | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

Sultan Selangor: Melayu berpecah, makin longlai

SHAH ALAM, 3O MEI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita baginda melihat perkembangan orang Melayu sekarang.

Baginda bertitah supaya orang Melayu kembali bersatu dan memikirkan punca kelihatan semakin lemah serta longlai di tanah air sendiri dalam arus perkembangan negara masa kini.

Baginda turut menegaskan, semangat perpaduan dalam kalangan orang Melayu amat penting dan perlu dipelihara demi masa depan serta generasi akan datang kerana menjadi asas kepada pembangunan sesebuah negara.


Berikut teks titah ucapan baginda di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Taman Seri Muda di Seksyen 25 pada 29 Mei:

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan semesta alam, Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan limpah kurniaNya, sempena bulan Ramadan yang mulia ini Beta berkesempatan untuk hadir ke majlis berbuka puasa bersama rakyat di samping merasmikan Masjid Taman Seri Muda ini yang merupakan masjid kelima yang Beta rasmikan di dalam bulan Ramadan.

Program sebegini memberi ruang kepada Beta untuk bertemu dan beramah mesra dengan rakyat sekelian khususnya masyarakat di kawasan Taman Seri Muda ini. Beta juga bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan berkat doa rakyat jelata, Beta diberi kesihatan yang baik dan dapat menjalankan ibadah puasa.

Di dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, sukacita Beta mengambil kesempatan, untuk menyeru dan memberi peringatan kepada rakyat Beta terutama rakyat Beta yang berketurunan Melayu agar mengutamakan perpaduan di kalangan kita.

Sejak kebelakangan ini, Beta melihat orang Melayu kelihatan semakin lemah dan longlai dari pelbagai aspek kehidupan di dalam arus perkembangan Negara masa kini. Beta ingin mengajak orang Melayu untuk merenung dan memikirkan dengan sedalam-dalamnya apakah puncanya orang Melayu semakin lemah dan longlai di tanah air sendiri.

Salah satu perkara yang Beta ingin sentuh di dalam ucapan Beta ini adalah berkaitan semangat perpaduan yang dilihat semakin luntur di kalangan orang-orang Melayu. Beta menegaskan, bahawa perpaduan di kalangan orang Melayu amat penting dan perlu dipelihara demi masa depan orang Melayu dan generasi orang Melayu yang akan datang. Perpaduan adalah asas kepada pembangunan sesebuah Negara. Umat yang berpecah akan membawa kehancuran kepada Negara.

Perpecahan orang Melayu dilihat begitu teruk sekali terutama apabila wujud banyak kumpulan yang kononnya berjuang atas dasar kepentingan orang Melayu. Ini ditambah buruk apabila kumpulan-kumpulan ini sering mengecam antara satu sama lain umpama menconteng arang sesama sendiri. Perbalahan dan pertelingkahan secara terbuka sesama kumpulan-kumpulan orang Melayu ini berlaku di mana-mana termasuklah di media-media sosial dan di media arus perdana.

Perbalahan ini mencakupi semua aspek sehingga perkara kecil pun dijadikan punca kepada pertelingkahan dan kemudiannya mengakibatkan perpecahan yang semakin ketara. Gejala fitnah-memfitnah yang dilemparkan antara satu pihak dengan pihak yang lain serta perasaan hasad dengki, pengkhianatan dan perasaan benci yang dipamerkan seolah-olah dijadikan semacam satu budaya di kalangan orang Melayu.

Gejala perpecahan ini menjadi bertambah buruk apabila terdapat segelintir pemimpin Melayu sendiri yang melemparkan cercaan dan sindiran terhadap bangsanya sendiri secara terbuka tanpa sekatan dan segan-silu. Perpecahan orang Melayu ini telah sampai ke tahap yang amat merisaukan kita semua dan masalah ini amat mendukacitakan Beta.

Apa yang lebih mendukacitakan Beta adalah kerana masyarakat Melayu ini merupakan penganut agama Islam. Semua rakyat terutama penganut agama Islam sedia maklum bahawa agama Islam sentiasa mengutamakan nilai-nilai murni diserapkan ke dalam diri seseorang umatnya.

Agama Islam juga sentiasa menyeru umatnya agar bersikap jujur dan ikhlas serta mempunyai sifat berbaik sangka, tolong-menolong, bersatu-padu, bertolak ansur dan sentiasa bersedia untuk memaafkan antara satu sama lain. Namun demikian semua nilai-nilai murni yang diunjurkan oleh agama Islam yang sepatutnya mengalir di dalam diri setiap orang Melayu Islam termasuk pemimpin Melayu ini tidak diamalkan, dan seolah-olah kita telah lupa bahawa batas-batas agama menghalang kita untuk berpecah-belah dan bertelingkah sesama kita.

Kita perlu ingat bahawa apabila orang Melayu berpecah dan hidup di dalam keadaan porak-peranda, akan ada pihak-pihak lain yang mendapat keuntungannya. Sebaliknya orang Melayu pula akan hilang segala-galanya baik dari segi hak beragama, ekonomi, politik dan pendidikan. Adakah kita mahu melihat satu hari nanti orang Melayu hidup merempat dan menjadi hamba di tanah air tempat tumpah darah kita sendiri?

Adakah kita mahu melihat orang Melayu dijajah dari segi agama, ekonomi, kuasa politik, pendidikan, pemikiran dan pelbagai aspek kehidupan yang lain? Jika kita tidak berhati-hati dan berterusan bertelingkah dan berpecah, sama ada antara orang Melayu ataupun sesama pemimpin Melayu, maka Beta percaya semua perkara yang Beta sebutkan tadi akan menjadi kenyataan dalam tempoh yang terdekat.

Bila Beta bercakap tentang orang Melayu supaya bersatu tidak bermakna Beta seorang racist. Beta sebagai Raja di negeri Selangor ini bertanggung jawab dan diamanahkan untuk memelihara perpaduan di kalangan rakyat Beta terutama kepada majoriti rakyat Beta berketurunan Melayu yang beragama Islam. Beta mahu semua rakyat Beta dapat hidup di negeri Beta dalam keadaan selesa, bersatu-padu, harmoni dan menikmati kekayaan Negara secara adil dan sama rata.

Mengambil kira keadaan semasa mengenai perpecahan orang Melayu ini, Beta menyeru kepada semua rakyat Beta yang berketurunan Melayu agar bersatu-padu dan mengenepikan segala perbalahan. Pemimpin-pemimpin Melayu pula tidak kira dari kumpulan mana, agar menghentikan segala budaya politik retorik dan berhenti dari terus melabelkan orang Melayu dengan pelbagai kecaman yang negatif. Orang Melayu tidak perlu lagi menerima kritikan terbuka serta sindiran-sindiran yang berbentuk kecaman yang boleh menguris hati orang-orang Melayu.

Apa yang diperlukan oleh orang Melayu pada ketika ini adalah perpaduan yang erat antara orang Melayu terutama di kalangan pemimpin Melayu dan rakyat berketurunan Melayu. Orang Melayu perlu bekerja keras, mempunyai pemikiran yang betul dan positif, mempunyai hala tuju yang jelas di samping mempunyai nilai-nilai murni yang diterapkan oleh Agama Islam.

Kita perlu akui tentang kelemahan yang ada pada orang Melayu namun kelemahan ini boleh diatasi jika sekiranya di kalangan orang Melayu ditanam dengan sikap berbaik sangka, tiada dengki khianat, tiada dendam-mendendami, sifat bekerjasama yang erat, saling membantu antara satu sama lain dan tidak hanya bersikap mementingkan diri sendiri dengan melupakan kesusahan yang dihadapi oleh bangsa sendiri.

Para pemimpin terutama pemimpin Melayu perlu memainkan peranan untuk membantu orang Melayu secara efektif tanpa memberi cercaan dan jolokan tidak baik terhadap orang Melayu hingga menyebabkan orang Melayu terus lemah dan hilang keyakinan. Pemimpin Melayu jangan hanya memikirkan kepentingan jangka pendek dan hanya semata-mata mencari populariti di dalam satu kumpulan tertentu sehingga mengenepikan perkara asas di dalam memelihara kepentingan orang Melayu secara keseluruhannya. Sikap begini hanya menguntungkan kumpulan orang Melayu tertentu sahaja sedangkan majoriti orang Melayu terus mundur dan tenggelam di dalam arus kejayaan Negara buat kata pepatah melayu: menang sorak kampong tergadai, menang menjadi arang kalah menjadi abu.

Suka Beta mengingatkan kita semula kepada sejarah titik hitam kejatuhan empayar Kesultanan Melaka. Negeri Melaka yang pada satu ketika dahulu terkenal dengan kegemilangan sebagai pusat perdagangan, pusat perkembangan ekonomi serta penyebaran Agama Islam secara meluas, dengan sekelip mata boleh tumbang kepada kuasa luar hanya kerana terdapatnya sifat khianat, hasad dengki, tamak haloba, perpecahan dan perebutan kuasa oleh orang-orang Melayu sendiri di dalam pentadbiran kerajaan Melaka pada ketika itu. Adakah kita mahu sejarah kejatuhan empayar Kesultanan Melaka ini berulang kembali pada zaman kita sekarang ini? Tidakkah kita boleh belajar dari kesilapan yang telah berlaku di dalam kepimpinan orang Melayu ini.

Oleh itu, sempena bulan Ramadan yang mulia ini, di samping kita beribadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala, Beta menyeru kepada seluruh orang Melayu agar memulakan langkah mulai hari ini untuk merapatkan saf, bersatu-padu, melupakan segala sengketa dan perselisihan faham dan mula memikirkan untuk bangkit semula menjadi satu bangsa yang kuat, bermaruah dan bermatlamat, demi kepentingan agama, bangsa dan Negara kita. Beta berkeyakinan penuh bahawa jika orang Melayu bersatu dan bekerjasama dengan erat, tiada rintangan yang tidak dapat kita atasi dan orang Melayu pasti akan mencapai kejayaan semula dan menjadi satu bangsa yang kuat dan bermaruah.

Di kesempatan ini Beta mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di Negeri Selangor dan selamat menjalankan ibadah terutama di malam-malam terakhir bulan Ramadan ini bagi mengejar malam lailatul qadar. Semoga amal ibadat yang kita lakukan diterima oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Beta sentiasa berdoa agar Negeri Selangor yang kita kasihi ini terus dipelihara Allah Subhanahu Wata’ala sebagai sebuah negeri yang maju, makmur, kehidupan rakyat yang harmoni serta dijauhi dari malapetaka, bencana dan segala musibah yang tidak kita ingini.

Beta juga menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Selangor agar berjimat cermat dan berhemah ketika berbelanja menjelang Aidil Fitri ini. Bagi mereka yang akan melakukan perjalanan jauh untuk menziarahi sanak saudara, Beta menasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan berhemah semasa memandu di jalanraya.

Akhir sekali Beta ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Beta yang beragama Islam dan ambillah kesempatan ini untuk mengeratkan lagi silaturrahim di kalangan keluarga dan juga masyarakat. Beta berdoa semoga kita semua mendapat keberkatan dan perlindungan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Maka dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta dengan sukacitanya merasmikan Masjid ini dengan nama Masjid Taman Seri Muda.

Sekian.
Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next