BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor rasmi Masjid Nurul Falah

OLEH NORHAYATI UMOR

SEKINCHAN, 13 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid Nurul Falah, Tali Air 7, Kampung Sungai Leman, di sini.

Baginda merasmikan masjid yang siap sepenuhnya pada 1985 selepas terbengkalai hampir dua tahun.

Masjid itu pada awalnya dikenali sebagai masjid nibong kerana tiangnya dibuat menggunakan kayu nibong dan dibina sekitar 40-an oleh penduduk yang meneroka tanah kampung berkenaan.

Uniknya, pada 1950, tapak asas masjid itu dibuat menggunakan pasir laut, manakala mimbarnya dibuat oleh tukang tempatan dari Kampung Parit 8.

Walaupun masjid baharu siap dibina, namun pihak pentadbir masjid ketika itu bersetuju supaya mimbar sedia ada terus diguna pakai dan masih kekal utuh sehingga kini.

Masjid berkeluasan sembilan ekar itu mampu menampung seramai 400 jemaah secara keseluruhan dengan 250 jemaah dalam ruang solat utama yang dilengkapi penghawa dingin, kamera litar tertutup dan skrin LCD.

Selain merasmikan masjid, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya berjumlah RM500 kepada 445 asnaf fakir, miskin dan mualaf sekitar daerah Sabak Bernam.

Penerima sumbangan itu membabitkan fakir seramai 16 orang, miskin (337) dan mualaf (92).

Sultan Sharafuddin bersama hadirin kemudian berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib berjemaah diikuti solat Isyak serta tarawih.

Mengiringi baginda ialah Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Pengarah Jabatan Agama Islam, Dato’ Haris Kasim.

Sementara itu, Haris dalam sembah ucapannya berkata, sebanyak 12 masjid kariah, tiga masjid institusi dan lima masjid akan dirasmikan sepanjang Ramadan.

“Keberangkatan DYMM Tuanku mencerminkan keperihatinan dan kepedulian terhadap rakyat serta perkembangan institusi agama Islam di negeri ini.

“Lebih bermakna lagi, keberangkatan Tuanku akan mencatat satu lagi tinta sejarah selain ia adalah acara rasmi kerajaan dan turut berperanan sebagai pengikat hubungan lebih erat dalam kalangan penduduk setempat, juga antara raja dan rakyat,” katanya.

 


Pengarang :