BERITA UTAMANASIONAL

Sultan Selangor terima bayaran zakat perniagaan RM10.8 juta

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BUKIT JELUTONG, 20 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat bernilai RM10,835,939.03 juta pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini hari ini.

Enam syarikat korporat berkenaan adalah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang diwakili Pengurus Besar Kewangan, Ahmad Rizal Omar, menunaikan zakat perniagaan sebanyak RM4,414,826, diikuti Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman yang mengeluarkan zakat sebanyak RM1,761,293.03.

Kumpulan Syarikat Rafulin Holdings Sdn Bhd yang mewakilkan Pengarah Urusan, Dato’ Mohamed Raffe Chekku menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,339,820, manakala Universiti MAHSA yang diwakili Pengerusinya, Prof Tan Sri Datuk Dr Mohamed Haniffa Abdullah menunaikan zakat berjumlah RM1,320,000.

Sementara itu, Sime Darby Property diwakili Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Wan Hashimi Al Bakri mengeluarkan zakat perniagaan berjumlah RM1,000,000 dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mewakilkan Pengurus Besar Kumpulan, Tamby Omar Mohamed menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,000,000.

Pada majlis yang sama, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 70 asnaf fakir, 211 asnaf miskin dan 53 asnaf mualaf sebanyak RM500 setiap seorang membabitkan jumlah zakat RM219,500.

Baginda juga berkenan menyampaikan insentif berjumlah RM10,000 kepada Johan Qari Peringkat Antarabangsa 2019, Abdul Khair Jalil.

Sultan Sharafuddin kemudiannya bersama hadirin berbuka puasa sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah diikuti solat Isyak serta tarawih.

Terdahulu, keberangkatan tiba baginda diiringi isteri, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari

Hadir sama, Mufti Selangor, Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Mohammed Khusrin Munawi; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Kasim dan Ketua Pegawai Penyelaras Lembaga Zakat Selangor (LZS), Abdul Basith Hamid.

 


Pengarang :