Sultan Selangor titah bendera dikibar separuh tiang | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Hafizan Taib

Norway

Wartawan

Zareef Muzammil

Sultan Selangor titah bendera dikibar separuh tiang

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan bendera di negeri ini dikibarkan separuh tiang bagi menghormati kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melalui ciapan di Twitter berkata, kibaran bendera separuh tiang itu bermula hari ini hingga esok.


“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah menitahkan agar bendera Selangor dikibarkan separuh tiang bermula hari ini dan esok sebagai tanda menghormati kemangkatan KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah,” tulisnya.

Dalam catatan sama, beliau mewakili rakyat Selangor merakamkan sembah takziah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan seluruh rakyat Pahang atas kemangkatan baginda.

“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan di syurga penuh nikmat. Al Fatihah,” tulisnya.

Almarhum mangkat pada usia 89 tahun, kira-kira 8.50 pagi, bersamaan 17 Ramadan di hari Nuzul al-Quran.

Perkara itu disahkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan di halaman rasmi Facebooknya, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Salehuddin pada sidang media berkata, jenazah Almarhum Sultan Ahmad Shah dibawa ke Istana Negara bagi urusan selanjutnya.

“Istiadat pemakaman akan diadakan selepas Zohor esok (Khamis),” katanya dipetik MStar Online.

Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah yang juga Sultan Pahang kelima, menyerahkan takhta kepada anakanda baginda, Tengku Abdullah, selepas memerintah negeri ini hampir 45 tahun.

Pemasyhuran Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang pada 15 Januari lalu.

Cadangan melantik Tengku Abdullah dibuat ekoran keadaan Sultan Ahmad Shah yang berada dalam keadaan gering dan dikemukakan pada mesyuarat Jemaah Pangkuan Diraja Pahang yang berlangsung di Kuala Lumpur setelah perbincangan diadakan di kalangan kaum keluarga dan dipersetujui sebulat suara.

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next