BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Selangor zahir kesedihan pemergian Dr Khoo Kay Kim

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang tokoh sejarawan dan ahli akademik Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, 82, yang meninggal dunia pagi ini.

Baginda yang mengenali mendiang sejak sekian lama menerusi aktiviti dalam Royal Asiatic Society menyifatkan pemergian Kay Kim sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

“Beta ingin menzahirkan perasaan sedih dan dukacita apabila mendengar berita mengenai pemergian Sejarawan Negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim.

“Beta dan Tengku Permaisuri Norashikin ingin mengucapkan takziah kepada isteri mendiang, Puan Sri Rathi Khoo dan anak-anak mendiang, Eddin, Rubin dan Mavin,” titah baginda yang dimuatnaik menerusi laman Facebook, Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin bertitah, sumbangan mendiang sebagai salah seorang individu yang menggubal Rukun Negara juga sangat dikagumi.

Selain itu, mendiang telah banyak memberi pandangan dan nasihat kepadanya mengenai isu-isu semasa khususnya yang menyentuh aspek-aspek sejarah dan arena sukan.

“Baru-baru ini, mendiang telah membantu Beta untuk menerbitkan sebuah buku yang merangkumkan sejarah Bola Sepak Selangor yang bakal dikeluarkan akhir tahun ini.

“Bagi mengenang jasa-jasa mendiang kepada negeri Selangor, Beta telah menganugerahkan mendiang dengan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) pada 2009.

“Beta yakin legasi mendiang Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim akan terus terpahat dalam sejarah Malaysia dan akan terus menyumbang kepada pembangunan modal insan di negara ini,” titah baginda.


Pengarang :