BERITA UTAMASELANGOR

Sultan Sharafuddin solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Jamek KL

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 24 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.

Keberangkatan baginda ke masjid yang diiktiraf sebagai warisan kebangsaan itu di sambut Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Turut berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Selesai solat, baginda dan Tengku Amir turut bersalam-salaman dengan orang ramai yang teruja untuk menatap wajah kedua-duanya dari dekat.

Walaupun, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad terletak di Kuala Lumpur namun ianya mempunyai signifikan kepada sejarah Selangor.

Ini berikutan masjid ini dibina pada 1909 di mana ketika itu Kuala Lumpur adalah sebahagian daripada Selangor.

Pada 23 Jun 2013, Sultan Sharafuddin berkenan menamakan semula Masjid Jamek Kuala Lumpur kepada namanya sekarang iaitu Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :