SELANGOR

Sumbangan petugas masjid, surau sepanjang Ramadan dihargai

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 19 MEI: Kerajaan Negeri sentiasa memahami bebanan tugas yang dihadapi pihak pengurusan masjid dan surau, sepanjang Ramadan kali ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia kerana ada di antara petugas berkenaan termasuk nazir, imam, bilal dan siak yang bekerja 24 jam.

“Jika ada program sahur, awal-awal lagi mereka sudah bersedia dan sebelum waktu berbuka puasa, mereka inilah di antara indovidu yang paling awal datang untuk melakukan persiapan.

“Sebagai menghargai jasa mereka, kita berikan bantuan khas kewangan Insentif Mahabbah Ramadan membabitkan 2,053 surau dan 390 masjid di Selangor Darul Ehsan berjumlah RM4.17 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Iftar Bersama Jemaah Masjid At-Taqwa Selayang Baru, hari ini.

Pada majlis yang sama, Amirudin turut menyerahkan sumbangan Lembaga Zakat Selangor kepada Nazir masjid, Mizan Mamat.

Sementara itu Mizan dalam ucapan ringkasnya berkata, beliau gembira apabila Dato’ Menteri Besar mengumumkan pemberian berkenaan.

“Pada masa sama kami amat berbesar hati menerima kunjungan ini walaupun beliau sibuk dengan pelbagai tugasan setelah menjadi Dato’ Menteri Besar.

“Kami berharap supaya masjid ini sentiasa mendapat perhatian,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengumumkan petugas masjid kariah terdiri daripada nazir, imam satu dan dua, bilal satu dan dua serta siak satu dan dua akan menerima setiap seorang RM400.

Manakala petugas surau pula yang terdiri daripada pengerusi surau, imam satu dan dua, seorang bilal dan seorang siak akan menerima setiap seorang RM300.

Bayaran itu merangkumi seramai 12,995 petugas masjid dan surau seluruh Selangor.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

 


Pengarang :