SELANGOR

Sumbangan raya ceriakan golongan kurang bernasib baik

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 25 MEI: Tiada apa yang lebih menggembirakan buat anak yatim, ibu tunggal, warga emas dan pelajar tahfiz apabila menerima sumbangan duit raya pada Majlis Iftar Sinar Ramadan, di sini semalam.

Pelajar Maahad Tahfiz Ihya Al-Ahmad, Muhammad Nabil Roslee, 17, berkata, dirinya yang menjadi anak yatim pada usia 13 tahun selepas kehilangan ibu berasa amat gembira diraikan dalam majlis berkenaan.

“Sumbangan duit raya yang diberikan ini saya akan simpan untuk kegunaan pada masa hadapan kerana banyak lagi keperluan yang diperlukan.

“Saya berterima kasih kepada pihak penaja kerana bantuan yang saya dapat ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban saya dan ayah,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, warga emas dan ibu tunggal, Soliaha Mohd Saad, 61, berharap supaya golongan sepertinya sentiasa dibantu dan tidak diabaikan.

“Saya sudah uzur dan hidup seorang, jadi saya tiada kudrat jika ingin melakukan pekerjaan untuk meraih pendapatan.

“Jadi, sumbangan yang saya terima ini dapat membantu saya menyediakan juadah berbuka untuk dijamah dan meraikan sambutan hari raya yang bakal tiba,” katanya.

Majlis Iftar Sinar Ramadan itu adalah anjuran Kelab Kebajikan Pembantu Operasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) yang dijayakan dengan kerjasama Selgate Corporation Sdn Bhd serta KDEB Waste Management Sdn Bhd.


Pengarang :