NASIONAL

Sungai, tali air lokasi lemas paling tinggi

PUTRAJAYA, 30 Mei: Sungai dan tali air merupakan lokasi kejadian lemas paling tinggi, diikuti pantai, tasik atau lombong, air terjun atau jeram dan pembentung, kata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menurut kementerian itu, data Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA) semalam, menunjukkan sebanyak 979 kematian akibat lemas dicatatkan sejak tahun 2016 hingga April 2019.

Daripada jumlah itu, 543 kematian dicatatkan di sungai dan tali air, pantai (225), tasik atau lombong (126), air terjun atau jeram (73) dan pembentung (12).

“Orang ramai diingatkan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan dan patuh kepada papan tanda amaran khususnya pada musim cuti persekolahan dan perayaan ini,” katanya.

KPKT berkata peranan ibu bapa juga amat penting dalam mengawasi pergerakan anak-anak mereka ke tempat rekreasi air yang dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi dan kawasan berisiko.

Sehubungan itu, KPKT melalui MKAA telah mengarahkan JBPM untuk mengawasi kawasan-kawasan berisiko tinggi sepanjang cuti persekolahan dan sambutan perayaan ini.

Menurut KPKT, sebanyak 15 kawasan telah dikenal pasti di seluruh negara yang melibatkan lima kematian atau lebih sejak tahun 2016 hingga 2018, antaranya Sungai Kg Batu Payung, Tawau, Sabah dan Air Terjun Sungai Sendat, Hulu Yam, Selangor yang masing-masing telah meragut 15 nyawa dalam tempoh itu.

Kawasan berisiko tinggi lain ialah Sungai SKC Kg Timah, Sungai Chiling, Sungai Gasi, Empangan Semenyih, Taman Putra Perdana dan Jambatan Stesen KTM Sungai Buloh di Selangor; Sungai Kg Sabak, Pantai Nipah dan Muara Tok Bali di Kelantan; Air Terjun Lata Berembun dan Air Terjun Chamang di Pahang; dan Air Terjun Sekayu di Terengganu.

KPKT berkata data JBPM dari tahun 2016 hingga 2018 juga menunjukkan Selangor mencatatkan jumlah kematian paling tinggi diikuti negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu. -BERNAMA


Pengarang :