NASIONAL

Syarikat insurans digalak wujud pelan bagi penyakit mental

 

IPOH, 23 Mei: Syarikat penyedia insurans di negara ini disaran mewujudkan pelan liputan insurans untuk pesakit mental kerana bilangan individu yang mengalami masalah tersebut semakin ramai terutama dalam kalangan remaja.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata ​​​​​​syarikat di beberapa negara telah menyediakan liputan insurans bagi lima penyakit mental iaitu masalah depresi; gangguan bipolar, skizofrenia; gangguan obsesif-kompulsif (OCD) dan sindrom tourette.

“Mengikut data daripada Tinjauan Mobiliti Kesihatan Kebangsaan pada 2015, kira-kira 29.2 peratus daripada 4.2 juta penduduk Malaysia yang berusia 16 tahun dan ke atas mengalami pelbagai penyakit mental.

“Bagi tahun 2017 pula, seramai 17.7 peratus perempuan dan 18.9 peratus lelaki yang berumur dari 13 hingga 17 tahun mengalami depresi manakala 42.3 peratus perempuan dan 37.1 peratus lelaki mengalami keresahan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Pameran Kebudayaan di Sekolah Menengah Poi Lam (SUWA) di sini hari ini.

Dr Lee mengulas gesaan aktivis sosial dan penaung Persatuan Psikiatri Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye supaya Kementerian Kesihatan memberi fokus kepada lebih ramai pengamal perubatan selain mencadangkan agar liputan insurans disediakan bagi rawatan dan penjagaan kesihatan mental.

Menjelas lanjut, Dr Lee berkata masalah mental tidak boleh lagi diabaikan serta perlu ditangani oleh semua pihak dan bukan hanya Kementerian Kesihatan sahaja.

Beliau berkata kos rawatan bagi pesakit mental agak tinggi dan boleh mencecah hingga ratusan ringgit bagi setiap kali sesi konsultasi. -BERNAMA


Pengarang :