SELANGOR

Syarikat swasta perlu berani tawar kerja kepada kaum ibu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SUBANG JAYA, 11 MEI: Syarikat swasta perlu berani melaksanakan dasar membawa wanita ke persekitaran kerja bagi memperkasa dan memantapkan penglibatan golongan itu dalam sektor pekerjaan.

Ahli Dewan Negeri Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, keupayaan pihak swasta melaksanakan dasar berkenaan bukan sahaja mampu meningkatkan mobiliti golongan wanita, malahan menyediakan peluang pekerja yang lebih meluas terhadap golongan terbabit.

“Sebagai majikan, mereka perlu peka terhadap keperluan ibu. Apabila membuat sesuatu keputusan, majikan kena pastikan mobiliti pekerja wanita memandangkan mereka juga mempunyai tanggungjawab dalam urusan rumah tangga.

“Majikan tidak perlu membuat dasar yang sangat rumit daripada satu keputusan yang kecil misalnya dengan memberikan sebuah komputer riba supaya mereka boleh bekerja dari rumah. Jadi, tidak bermakna pekerja tiada di tempat kerja, mereka tidak boleh bekerja.

“Staf juga dibenarkan bekerja dari rumah dan tidak akan ditolak daripada cuti tahunan mereka asalkan sudah berbincang sesama sendiri bagi memastikan terdapat staf yang cukup untuk menjaga pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Ibu Peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Pelancaran Program Indahnya Raya Da Men 2019, di Ruang Legar Pusat Membeli Belah Da Men, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan; Ahli Majlis Zon 4, Kamarul Hisham Yeop Hashim; Penasihat Da Men Mall, Dato’ Abdul Wahab Khalil dan Pengurus Kanan Sewaan Da Men Mall, Joanne Kuan.

Terdahulu, lebih 200 ibu terpilih dari seluruh kawasan pentadbiran MPSJ diraikan dalam majlis yang turut mendapat kerjasama Puspanita MPSJ, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Pusat Wanita Berdaya (PWB) Selangor dan badan bukan kerajaan (NGO) SJ Care Warrior.

Sementara itu, Noraini berkata, sambutan itu bertujuan menghargai peranan dan sumbangan ibu sama ada wanita berkerjaya atau suri rumah yang sentiasa menggalas tanggungjawab membesarkan anak-anak.

“Kita juga mahu mendidik keluarga dan masyarakat untuk menghargai pengorbanan ibu mereka, selain mengiktiraf pencapaian wanita dalam pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi, politik dan budaya, sekali gus menjalankan tanggungjawab sebagai ibu,” katanya.

 


Pengarang :