rhdr
SELANGOR

Tabung MYDIN Prihatin dilancar bantu anak yatim, asnaf

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SUBANG JAYA, 1 MEI: Pengendali rangkaian peruncitan terkemuka, Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) melancarkan tabung ‘MYDIN Prihatin’ sempena kempen Girang Syawal Tiba 2019.

Pengarah Urusannya, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, tabung itu bertujuan mengumpul dana bagi disumbangkan kepada rumah kebajikan anak yatim dan golongan asnaf.

Katanya, program itu mendapat kerjasama 11 syarikat pembekal berjenama dan syarikat terbabit akan menyumbang daripada nilai belian pelanggan yang membeli produk mereka.

“Setiap nilai belian antara 5 sen hingga 50 sen daripada 11 jenama itu akan disalurkan ke dana ‘MYDIN Prihatian’.

“MYDIN juga buat kerjasama dengan platform e-dagang terkemuka iaitu Shopee. Jadi, setiap pembelian barangan jenama MYDIN melalui Shopee, sebanyak 20 sen akan disumbangkan ke tabung itu,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika Majlis Pelancaran MYDIN Girang Syawal Tiba 2019, di Ruang Legar MYDIN USJ, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya menyasarkan jumlah kutipan sebanyak RM200, 000 supaya dapat disalurkan ke 14 rumah kebajikan berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seluruh Malaysia.

Syarikat pembekal yang menyertai tabung itu adalah Beras Juara, Cola-Cola Malaysia, Enaq, Enrico’s, Mamee, Antabax, NONA, P&G, Sunquick, Trichy dan Gardenia.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, pihak kementerian sangat mengalu-alukan program kerjasama bersama syarikat korporat seperti itu.

Katanya, program terbabit dapat mengurangkan beban kewangan pihak kementerian, manakala pihak korporat dapat menyalurkan sumbang secara tepat pada rumah kebajikan berdaftar di bawah kementerian.


Pengarang :