BERITA UTAMANASIONAL

“Tahniah dan terima kasih ibu” – Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Bersempena sambutan Hari Ibu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan penghargaan kepada para ibu di seluruh negara atas segala pengorbanan yang dilakukan demi memastikan anak-anak dan keluarga sentiasa dalam keadaan yang selamat dan lengkap.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata ibu-ibu pada zaman ini berdepan cabaran yang sangat memerlukan mereka untuk bergerak pantas dan bijak mengatur strategi keibubapaan.

Dalam mesej Hari Ibu menerusi sebuah video pendek yang dimuat naik di laman Twitter kementerian, beliau berkata golongan ibu juga perlu mahir menggunakan teknologi moden dalam membantu mereka mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga.

“Ia sekali gus memacu ahli keluarga menjadi modal insan yang berkualiti. Harapan saya, negara akan lebih maju dengan komitmen yang diberikan oleh anda semua terutama ibu-ibu yang dikasihi,” katanya dalam video berdurasi satu minit 36 saat itu.

Dr Wan Azizah turut mengambil kesempatan mengingatkan anak-anak supaya menghargai ibu masing-masing sepanjang hayat.

“Ingatlah, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Tahniah dan terima kasih ibu. Anda merupakan insan yang hebat.

“Selamat hari ibu, kitakan keluarga,” katanya.

Hari Ibu disambut pada Ahad kedua bulan Mei setiap tahun.

– BERNAMA

 


Pengarang :