SELANGOR

Tahun Melawat Sepang sasar pulangan RM5 bilion

OLEH NORHAYATI UMOR

CYBERJAYA, 22 MEI: Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS2020) menyasarkan kehadiran lima juta pelancong ke daerah itu dengan pulangan pendapatan RM5 bilion.

Pegawai Daerah Sepang, Mohd Yazid Sairi berkata, penganjuran itu bertujuan menyemarakkan Sepang sebagai destinasi eko pelancongan melalui beberapa aktiviti.

“Antaranya festival budaya, larian TMS2020, aktiviti menyelusuri Sungai Sepang Besar, festival produk tempatan dan festival pantai Bagan Lalang.

“TMS2020 ini dianjurkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bagi menyemarakkan industri pelancongan,” katanya dalam sembah ucapan pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan sambutan Nuzul Al-Quran di Masjid Raja Fi Sabilillah, di sini.

MPSepang sudah mula mengerakkan perancangan teliti dan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi merealisasikan hasrat itu.

Antara program yang diadakan pada kempen TMS2020 termasuk mempromosi Sepang sebagai destinasi membeli-belah, program bersama pengusaha penanaman buah naga, Jelajah Tahun Melawat Sepang dan festival kebudayaan.

TMS2020 yang bertemakan ‘Sepang Gerbang Negara’ pastinya amat dinantikan pengunjung kerana daerah itu menjanjikan sesuatu yang menarik untuk dinikmati.


Pengarang :