NASIONAL

Tak perlu persoal bila ganti Tun M, kata Anwar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANGI, 15 MEI: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, tarikh untuk beliau mengambil alih kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) tidak seharusnya menjadi persoalan kepada orang ramai.

Presiden KEADILAN itu berkata, ia bergantung kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengadakan pertemuan bersamanya bagi membincangkan berkaitan peralihan kuasa berkenaan.

“Biarlah beliau (Tun M) bincang dengan saya seperti mana yang sedang berlaku dengan baik. Saya tidak ada masalah sama sekali kerana beliau mempunyai peranan masa sekarang dan harus diberi ruang.

“Andai kata saya ambil alih kepimpinan sekalipun, peranan Tun Dr Mahathir tetap ada sebagai seorang negarawan yang banyak berjasa kepada negara kita.

“Saya tidak fikir isu (peralihan kuasa) ini masalah,” katanya ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Belia Kebangsaan, di Panggung Seni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Sepertimana ketetapan dipersetujui, Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas dua tahun, iaitu pada Mei 2020.

Dr Mahathir sebelum ini juga mengakui sedang berada dalam posisi Perdana Menteri sementara dan sedang berusaha mempersiapkan negara sebaik mungkin supaya penggantinya kelak dapat mengambil alih jawatan dalam keadaan terbaik.

Mengulas pembebasan beliau yang akan genap setahun esok, Ahli Parlimen Port Dickson itu mengakui banyak meluangkan masa terluang berjumpa dengan rakan-rakan termasuk masyarakat dari dalam dan luar negara.

“Oh ya setahun! Saya syukur telah bebas dan sudah setahun berlalu dan memanfaatkan waktu menemui semua pihak turun ke daerah dan keluar negara menemui rakan-rakan lama dan juga masyarakat, NGO dan aktivis,” katanya.

 


Pengarang :