NASIONAL

Takziah Agong, Permaisuri kepada keluarga Allahyarham Abu Hassan Din

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini menzahirkan ucapan takziah atas pemergian tokoh agamawan negara dan pendakwah terkenal, Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz yang meninggal dunia awal pagi tadi.

“Al-Fatihah. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Raja Permaisuri Agong serta seluruh warga Istana Negara, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz, mantan Pegawai Agama Istana Negara,” menurut satu kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram rasmi Istana Negara hari ini.

Allahyarham Abu Hassan, adalah bekas Imam Besar Masjid Negara, dan pernah menjadi Penasihat Agama kepada beberapa Yang di-Pertuan Agong termasuk Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Sultan Mizan Zainal Abidin.

Allahyarham Abu Hassan, 73, disahkan meninggal dunia kira-kira 7.30 pagi selepas rebah dan tidak sedarkan diri.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Gombak kira-kira 6.10 petang tadi, selepas disembahyangkan di Masjid Saidina Hamzah yang diimamkan oleh anak lelakinya, Mohamad Yusri.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :