Tambahan tempat matrikulasi tidak jejas lepasan STPM ke UA | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Tambahan tempat matrikulasi tidak jejas lepasan STPM ke UA

PUTRAJAYA, 20 MEI: Pertambahan sebanyak 15,000 tempat untuk program Matrikulasi yang diputuskan Kabinet baru-baru ini tidak akan menjejaskan pengambilan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke peringkat ijazah pertama di universiti awam (UA).

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan hari ini berkata kementerian mengamalkan prinsip meritokrasi dalam pengambilan pelajar.

“Berdasarkan prinsip ini, semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberi peluang untuk mengikuti pengajian di IPTA (institusi pendidikan tinggi awam),” katanya.


Menjelas lanjut, KPM berkata calon-calon yang layak dan memenuhi syarat am dan syarat khas program pengajian serta kriteria pemilihan yang telah ditetapkan akan dipertimbangkan berdasarkan kepada pilihan program pengajian yang dipohon.

Katanya proses pemilihan pelajar bergantung kepada pengiraan markah merit iaitu 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.

Menurut KPM, markah akademik bagi kedua-dua lepasan STPM dan Matrikulasi adalah berdasarkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) yang diperoleh calon yang memohon.

“Kejayaan mendapat tempat di UA bergantung sepenuhnya kepada markah merit, tempat yang disediakan serta kelayakan calon dan bukannya bergantung kepada kategori calon tersebut,” katanya.

Selain itu, KPM berkata bilangan tempat yang boleh ditawarkan juga bergantung kepada prasarana dan kapasiti UA.

KPM berkata dalam tempoh dua tahun sejak 2017, tawaran untuk lepasan STPM telah menunjukkan pertambahan sebanyak 4,242 (21.07 peratus), manakala lepasan Matrikulasi meningkat sebanyak 1,981 tawaran (10.83 peratus) pada sesi 2018/2019.

– BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next