BERITA UTAMASELANGOR

Tapak niaga percuma untuk usahawan produk tempatan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 MEI: Program penyediaan tapak niaga percuma kepada pengusaha produk tempatan diteruskan tahun ini bagi membantu golongan itu meningkatkan pasaran produk masing-masing.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, program tahun kedua itu membabitkan 25 pengusaha di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.

“Antara syarat dikenakan, produk mestilah keluaran sendiri supaya golongan ini dapat mempromosikan produk mereka dan meningkatkan pendapatan sempena hari raya nanti.

“Pengusaha juga mestilah pengundi Paya Jaras dan 80 peratus produk yang dijual keluaran sendiri, hanya 20 peratus sahaja keluaran pihak lain,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, program yang diadakan di parkir Pasar Raya Econsave itu diadakan sejak hari pertama berpuasa sehingga malam raya.

Sementara itu, Mohd Khairuddin berkata, Jom Shopping di DUN itu yang berlangsung pada 25 dan 26 Mei lalu membabitkan seramai 600 peserta.

“Program ini diadakan dalam dua fasa kerana membabitkan 600 peserta dan setiap peserta menerima baucar bernilai RM100 untuk dibelanjakan di Econsave.

“Program ini sentiasa ditunggu-tunggu rakyat bagi meringankan beban perbelanjaan sempena Aidilfitri kali ini,” katanya.


Pengarang :